[LAPORAN KHAS] DATA Jabatan Insolvensi mendedahkan seramai 48,413 lelaki atau 70.23 peratus telah muflis dari tahun 2016 hingga setakat bulan Mei tahun ini berbanding 20,524 wanita atau 29.77 peratus.
Menurut penulis buku kewangan, Dr Azizul Azli Ahmad, terdapat beberapa faktor mengapa lebih ramai golongan Adam muflis berbanding wanita.
"Pertama, lelaki mempunyai punca pendapatan lebih besar, jika kita lihat dalam skala pekerjaan di Malaysia, wanita menguasai 48 peratus industri pekerjaan, selebihnya dikuasai lelaki.
"Ini bermakna apabila ada kecenderungan dan keupayaan untuk membuat hutang atau pinjaman maka individu tersebut akan lebih berisiko untuk muflis.
"Faktor kedua, secara psikologinya, lelaki lebih berani berbanding wanita untuk membuat pinjaman.
"Ketiga, lelaki lebih banyak membuat pembayaran besar seperti pembiayaan rumah dan kereta sementara wanita tidak membuat pembelian besar yang boleh menyebabkan kebankrapan,” kata Azizul kepada Sinar Harian baru-baru ini.
Azizul yang juga Pensyarah Kanan di Universiti Teknologi Mara menambah, lelaki juga lebih gemar mengambil risiko pelaburan berbanding wanita.
"Hal-hal yang melibatkan instrumen pelaburan seperti saham dan hartanah, kebanyakan yang terlibat adalah lelaki.
"Kelima, lelaki mahu dilihat lebih berjaya berbanding rakan-rakan yang lain dan untuk kelihatan lebih cepat berjaya, kebanyakan mereka sanggup mengambil risiko dengan berhutang seperti hutang kad kredit,” katanya.
Azizul menegaskan, faktor seterusnya adalah kerana lelaki merupakan tulang belakang keluarga.
"Sebagai tulang belakang keluarga, lelaki akan menempuh banyak risiko dan juga peluang. Semua perbelanjaan sama ada secara tunai atau berhutang adalah demi untuk menanggung keluarga maka lelaki sanggup mengambil risiko.
"Ada kes di mana lelaki tersebut ialah ketua keluarga yang baik tetapi tersalah membuat percaturan kewangan atau mungkin ditipu pihak tidak bertanggungjawab dan akhirnya membawa kepada masalah besar seperti muflis,” katanya lagi.
Seterusnya, menurut Azizul, lelaki tidak mempunyai pelaburan kecil seperti wanita.
"Apabila seseorang itu mula bekerja, lelaki tidak mempunyai pelaburan kecil seperti wanita. Contohnya, ada wanita akan membeli barang kemas apabila mendapat gaji, ia sebagai ganjaran diri dan juga pelaburan pada waktu kecemasan.
"Kebanyakan lelaki tiada pelaburan kecil. Contohnya, mereka akan membeli motosikal atau kereta yang akan mengalami susut nilai,” kata Azizul sambil menambah adalah lebih baik sekiranya lelaki dan wanita saling berkongsi pandangan sebelum membuat keputusan kewangan.