KUALA LUMPUR - Seorang saksi memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini bahawa beliau melihat seorang daripada tertuduh dalam kes bunuh penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Zulfarhan Osman Zulkarnain, memegang seterika wap sebelum kejadian.
Penuntut UPNM, Muhammad Ilham Zamree, 22, yang juga rakan rapat mangsa yang dikenali sejak di bangku persekolahan berkata, pada jam 4.30 pagi, 22 Mei 2017, dia telah pergi ke bilik 4-10 untuk mengambil baju uniformnya yang ditinggalkan di bilik tersebut dan ketika masuk ke bilik itu dia melihat seorang rakannya, Muhammad Najib Mohd Razi sedang memegang seterika wap.
Semasa ditanya apakah yang sedang dilakukan Muhammad Najib, saksi itu berkata, dia hanya melihat rakannya itu memegang seterika dan tidak kedengaran sebarang suara selain dia tidak mengecam kehadiran individu lain kerana suasana di bilik itu gelap.
Bilik 4-10 dipercayai tempat Zulfarhan Osman dibunuh, dihuni lima penuntut termasuk tiga tertuduh iaitu tertuduh pertama, Muhammad Akmal Zuhairi Azmal dan tertuduh ketiga, Muhammad Najib Mohd Razi yang didakwa membunuh Zulfarhan Osman serta tertuduh Mohamad Lukhmanul Hakim Mohd Zain yang didakwa mencederakan mangsa.
Ketika pemeriksaan utama Pengarah Pendakwaan Kuala Lumpur Othman Abdullah pada perbicaraan hari ke-20 kes itu, Muhammad Ilham berkata, dia hanya masuk sebentar ke bilik itu untuk mengambil bajunya dan segera keluar selepas itu.
Menjawab soalan kenapakah saksi itu tergesa-gesa keluar dari bilik 4-10 itu, Muhammad Ilham berkata kerana dia tidak selesa dengan mereka yang berada di bilik itu namun tidak menjelaskan lanjut apakah yang telah dilakukan oleh individu yang dikatakan ‘mereka’ di bilik itu.
Ketika ditanya adakah Muhammad Ilham mengetahui bahawa Zulfarhan Osman dipercayai telah ditekap seterika, saksi itu berkata, dia tahu namun tidak melihat kejadian itu.
Ditanya bilakah kali terakhir Muhammad Ilham berjumpa Zulfarhan Osman, saksi itu berkata, sebelum dia pulang bercuti ke kampungnya di Johor namun tidak mengingati bilakah tarikh tersebut dan Zulfarhan Osman berpesan kepadanya supaya tidak memberitahu ibu bapanya bahawa Zulfarhan Osman kini sedang bercuti.
Terdahulu seterika wap yang dipercayai digunakan untuk menekap Zulfarhan Osman dibawa masuk ke bilik bicara dan Muhammad Ilham mengecam seterika itu adalah miliknya melalui rupa bentuk.
Muhammad Ilham berkata, dia membeli alatan itu dengan wang sendiri dan berkongsi menggunakannya bersama rakan lain di asrama penginapan UPNM.
"Ya, seterika wap itu milik saya. Guna kongsi-kongsi,” kata saksi pendakwaan ke-27 itu yang telah mengenali mangsa sejak berumur 16 tahun iaitu ketika belajar bersama di Sekolah Menengah Teknik Johor Bahru.
Muhammad Ilham berkata, dia yang menghuni bilik 4-07, telah meletakkan seterikanya di bilik 4-10.
Kepada soalan Othman kenapakah saksi itu meletakkan seterikanya di bilik tersebut dan bukan di biliknya sendiri, Muhammad Ilham menjelaskan dia sering menghabiskan masanya di bilik 4-10 bagi membuat tugasan, melepak dan tidur kerana wifi di bilik tersebut adalah laju.
Enam penuntut UPNM iaitu Muhammad Akmal Zuhairi, Muhammad Azamuddin Mad Sofi, Muhammad Najib, Muhammad Afif Najmudin Azahat, Mohamad Shobirin Sabri dan Abdoul Hakeem Mohd Ali mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan membunuh dan bersubahat membunuh Zulfarhan Osman di bilik 04-10, blok penginapan asrama Jebat, UPNM antara 4.45 pagi dan 5.45 pagi, 22 Mei 2017.
Pertuduhan terhadap mereka yang kesemuanya berusia 22 tahun, dibuat mengikut Seksyen 302 dan 109 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.
Mereka bersama 13 lagi penuntut lain turut didakwa atas pertuduhan dengan sengaja menyebabkan cedera terhadap mangsa bagi maksud hendak memerasnya untuk mendapatkan pengakuan mencuri komputer riba, mengikut Seksyen 330 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.
Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Azman Abdullah bersambung 25 Januari. - Bernama