KUALA LUMPUR - Seorang bekas pemandu e-hailing dihukum penjara tiga tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah mendesak pasangan kekasih melunaskan hutang sebanyak RM80 dengan cara merompak.
Nor Fikri Edli Mohd Nordin, 34, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Mahyon Talib.
Mengikut kedua-dua pertuduhan, bapa kepada empat anak itu dituduh melakukan rompakan terhadap Mohamad Salleh Hassan, 26, dan Nur Syafiqah Izrin dengan mengambil dua telefon bimbit, MyKad, MyKid, lesen memandu, motosikal dan wang tunai RM300.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Ipoh, Sentul bersama dua lagi rakan yang masih bebas pada jam 4 pagi, 30 Januari lalu.
Bagi kedua-dua pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan hendaklah dikenakan sebat.
Mengikut fakta kes, Nor Fikri Edli bersama dua rakannya berbincang dengan Mohamad Salleh mengenai hutang di sebuah kedai burger.
Semasa berbincang, tertuduh mendesak mangsa melunaskan hutang berkenaan seterusnya memukul mangsa di kepala.
Pada jam 10 pagi hari yang sama, Mohamad Salleh dan teman wanitanya dibawa ke sebuah hotel, namun setibanya di sana mereka sekali lagi dipukul dan dibogelkan sebelum gambar serta video mereka diambil sambil mengugut akan menyebarkan rakaman tersebut.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nurliyana Mohd Jafri memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal kerana tindakan tertuduh menyebabkan trauma kepada mangsa.
"Walaupun barang yang dirompak antaranya motosikal yang dicuri sudah diperoleh, namun ia tidak sempurna kerana ditemui dalam bentuk rangka,” katanya.
Bagaimanapun, tertuduh yang diwakili peguam, N Zenathnara merayu anak guamnya dikenakan hukuman yang minimum kerana insaf dengan perbuatan yang dilakukan.
Mahkamah memerintahkan tertuduh dihukum penjara tiga tahun bagi setiap pertuduhan dan berjalan serentak dari tarikh tangkap iaitu bermula 11 Februari lalu.