Ibu didenda RM10,000 cederakan anak disleksia

Iklan
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR - Seorang ibu tunggal didenda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas mengaku salah mencederakan anak perempuannya berusia enam tahun yang menghidap penyakit disleksia pada November tahun lalu.

Norsyazana Md Nor, 32, dikenakan hukuman itu selepas menukar pengakuan bersalah pada hari kedua perbicaraan di hadapan Hakim Mahyon Talib hari ini.

Iklan
Iklan

Mahkamah turut memerintahkan wanita itu dipenjara selama empat bulan, jika gagal membayar denda.

Mengikut pertuduhan, Norsyazana didakwa dengan sengaja melakukan penderaan kepada anak tunggalnya yang mempunyai penyakit disleksia dengan menampar sebelah kanan dan kiri muka anaknya sehingga meninggalkan kesan.

Iklan

Wanita itu didakwa melakukan tindakan berkenaan di sebuah rumah di Taman Tun Dr Ismail di sini pada jam 8.30 hingga 9 malam pada 6 November 2019.

Dia didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Iklan

Menurut fakta kes, bekas suami tertuduh menerima kiriman WhatsApp daripada guru mengenai kesan lebam di bawah mata kiri dan kanan anaknya.

Selepas ditanya, mangsa mengesahkan dipukul, malah ia diakui oleh tertuduh dengan alasan kerana marah selepas anaknya itu diam apabila disuruh membaca.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Nurliyana Mohd Jafri memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal kerana tindakannya menyebabkan mangsa mengalami kecederaan.

"Tertuduh selaku ibu kandung sepatutnya bersabar, lebih-lebih lagi dia mengetahui anaknya mempunyai penyakit.

"Ia juga menjadi pengajaran kepada tertuduh dan orang awam bahawa mahkamah memandang serius isu penderaan kanak-kanak,” katanya.

Bagaimanapun tertuduh yang diwakili peguam, Mohd Irwan Mohd Mubarak dan Mohd Saufi Samsudin merayu agar anak guamnya diberi hukuman minima.

Ini kerana katanya, ini merupakan kesalahan pertama Norsyazana sejak enam tahun menjaga anaknya, malah ia merupakan kesalahan yang tidak disengajakan.