SHAH ALAM - Rakyat Malaysia diingatkan tidak lalai dan alpa selagi pandemik koronavirus (Covid-19) belum berakhir.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, setiap individu, keluarga dan komuniti ialah petugas barisan hadapan atau 'frontliners' dan perlu sentiasa mengingati antara satu sama lain.
"Ibu bapa mesti sentiasa mengingatkan anak-anak setiap hari supaya sentiasa memakai pelitup muka ketika keluar dari rumah termasuk menjaga penjarakkan sosial, sentiasa membasuh tangan, elakkan tempat sesak dan jangan berjabat tangan.
"Tak mengapalah kalau dikata berleter pun kerana ia amat penting dan kita semua sayangkan keluarga kita.
"Di tempat kerja pula, majikan mesti sentiasa mengingatkan pekerja supaya mematuhi SOP (prosedur operasi standard) yang ditetapkan. Letakkan notis atau peringatan mengenai SOP yang perlu dipatuhi di tempat yang mudah dilihat,"katanya menerusi Perutusan Khas Perdana Menteri Mengenai Perkembangan Terkini Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) hari ini.
Tambahnya, di sekolah peranan yang proaktif perlu dimainkan oleh pengetua, guru besar, guru, pengawas dan ketua kelas iaitu mengingatkan pelajar mengenai perkara sama.
Katanya, peranan yang sama juga harus dimainkan oleh ketua komuniti, ketua kampung dan imam bagi menjaga komuniti di kawasan mereka.
"Ketua Kampung bersama ahli-ahli jawatankuasa kampung boleh melakukan lawatan atau rondaan ke tempat yang sering dikunjungi oleh penduduk kampung sama ada di kedai kopi, restoran, pasar pagi atau kedai menjual barangan keperluan harian.
"Nasihati mereka supaya memakai pelitup muka dan jaga penjarakkan sosial. Saya percaya jika kita semua dapat memainkan peranan dalam memutuskan rantaian jangkitan Covid-19, kita akan dapat melalui fasa PKPP ini dengan jayanya," katanya.
Sebelum ini, kerajaan mengumumkan PKPP dilaksanakan mulai 10 Jun 2020 hingga 31 Ogos 2020 selepas Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) berakhir pada 9 Jun lalu.
Menerusi PKPP, lebih banyak kelonggaran diberikan kepada masyarkaat untuk menjalani aktiviti kehidupan seharian di samping mematuhi SOP secara berterusan.