PM minta individu dari luar negara disiplin jalani kuarantin

Iklan
Kakitangan sebuah pasaraya mendengar perutusan khas yang disampaikan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini. -Foto Bernama

SHAH ALAM - Kerajaan meminta individu yang pulang dari luar negara supaya kekal berdisiplin menjalani tempoh kuarantin di rumah selama 14 hari.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ini kerana kes-kes positif koronavirus (Covid-19) banyak berlaku dalam kalangan mereka yang pulang atau tiba dari luar negara.

Iklan
Iklan

Menurutnya, di samping Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) terus memperkukuhkan kawalan di pintu masuk antarabangsa negara, kerajaan menggesa mereka yang menjalani kuarantin di rumah dapat duduk di bilik yang berasingan daripada ahli keluarga yang lain.

Beliau berkata, individu berkenaan juga tidak dibenarkan keluar rumah sepanjang tempoh kuarantin.

Iklan

"Anda juga mesti melakukan penilaian status kesihatan kendiri menggunakan aplikasi MySejahtera dan sekiranya bergejala, maklumkan kepada pejabat kesihatan daerah berhampiran dengan segera.

"Sekiranya anda gagal mematuhi arahan pengasingan ini, penalti boleh dikenakan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 jika disabitkan kesalahan," katanya menerusi Perutusan Khas Perdana Menteri Mengenai Perkembangan Terkini Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) hari ini.

Iklan

Sebelum ini, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, mulai 10 Jun lalu rakyat Malaysia yang pulang ke tanah air dari luar negara perlu menjalani kuarantin di rumah dan tidak lagi ditempatkan di pusat kuarantin seluruh negara.

Katanya, mereka akan menjalani ujian calitan sebaik tiba di pintu masuk negara dan individu yang didapati positif akan terus dihantar ke hospital, manakala yang negatif dibenarkan pulang untuk menjalani kuarantin di kediaman masing-masing.

Dalam perkembangan sama, Muhyiddin berkata, jika perlu (kes meningkat), kerajaan akan menempatkan rakyat Malaysia yang pulang ke tanahair dari luar negara di pusat-pusat kuarantin untuk mengawal kes-kes import dengan lebih berkesan.

"Penguatkuasaan undang-undang juga akan ditingkatkan dengan denda yang lebih berat akan dikenakan ke atas mereka yang didapati melanggar undang-undang dan peraturan," katanya.