Guru ditemui meninggal dunia dalam kereta

Iklan
Guru lelaki ditemui sudah tidak bernyawa dalam keretanya pagi tadi.

GEORGETOWN - Seorang guru ditemui meninggal dunia di dalam kereta di kawasan parkir rumahnya di sebuah pangsapuri berhampiran Pasar Awam Paya Terubong di sini pagi tadi.

Mayat lelaki berusia 43 tahun itu ditemui guru besar yang datang ke rumahnya selepas bimbang sesuatu buruk berlaku kerana dia tidak hadir ke sekolah.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Komisioner Soffian Santong berkata, guru berkenaan ditemui meninggal dunia kira-kira jam 10.35 pagi dalam keadaan terbaring dalam kereta jenis Proton Saga.

Menurutnya, terdahulu guru besarnya menghubungi ibu guru terbabit untuk bertanyakan khabar berikutan dia tidak ke sekolah, namun wanita itu memaklumkan anaknya pergi kerja pada jam 6.30 pagi.

Iklan

"Bimbang sesuatu buruk berlaku, guru besar berkenaan mengambil keputusan untuk ke rumah lelaki itu yang juga penolong guru besar sebelum melihat kenderaannya masih berada di kawasan parkir.

"Ketika menghampiri kereta Proton Saga itu, didapati lelaki berkenaan sedang terbaring dalam kereta dan enjin tidak dihidupkan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini hari ini.

Iklan

Menurutnya, ibu guru berkenaan memaklumkan anaknya itu tidak mempunyai sebarang penyakit dan tidak pernah mendapatkan rawatan di hospital.

"Sebulan kebelakangan ini, anaknya itu dilihat mempunyai masalah kesihatan tapi dia tidak pergi ke hospital dan hanya beli ubat di farmasi," katanya.

Soffian berkata, siasatan pada mangsa dan sekitar lokasi kejadian mendapati tiada unsur jenayah dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.