75 basikal elektrik dirampas

Iklan
Johari (lima dari kiri) menunjukkan e-bike yang dirampas pada sidang akhbar di Kompleks JKDM Wilayah Persekutuan di Kelana Jaya hari ini. - Foto Bernama

PETALING JAYA - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) merampas 75 basikal elektrik (e-bike) tanpa permit dianggarkan bernilai RM112,500 dengan jumlah cukai berjumlah RM45,000 dalam sebuah kontena di Pelabuhan Klang pada 17 Julai lalu.

Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan dan Pematuhan), Datuk Johari Alfiah berkata, dagangan e-bike diklasifikasikan sebagai dagangan terlarang di bawah Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2017 dan tertakluk kepada permit daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

Iklan
Iklan

"Siasatan sedang dijalankan untuk mengesan pengimport dan ejen kastam yang terbabit dalam cubaan seludup ini mengikut Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967," katanya pada sidang akhbar di Kompleks JKDM Wilayah Persekutuan di Kelana Jaya hari ini.

Sementara itu, Johari berkata, pihaknya turut merampas16,200 liter minuman keras seludup bernilai RM76,500 membabitkan jumlah duti RM437,580 di dalam sebuah kontena di Pelabuhan Klang, Jumaat lalu.

Iklan

Menurutnya, sindiket berkenaan membuat pengikraran palsu kononnya membawa muatan pelbagai barangan campuran seperti topeng pakai buang, beg plastik dan beg bukan fabrik tenun.

"Dagangan yang diikrarkan diletakkan di bahagian hadapan kontena supaya minuman keras yang diseludup terbabit tidak kelihatan sekiranya kontena berkenaan dibuka.

Iklan

"Ejen penghantaran yang terbabit sudah dikenal pasti dan tindakan diambil mengikut Akta Kastam 1967 dan Akta Eksais 1976," katanya.

Beliau berkata, dalam Op Benteng pada 15 Julai lalu, pihaknya turut merampas 157,760 batang rokok dan 109.56 liter minuman keras seludup dianggarkan bernilai RM52,096 menerusi pemeriksaan di beberapa premis serta kedai runcit sekitar Selangor.

Katanya, sebanyak sembilan kes diperoleh sepanjang operasi itu membabitkan duti berjumlah RM113,553.

"Kami turut menyita kereta jenis Honda City dan kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Alza dianggarkan bernilai RM38,000.

"Seramai lapan warga asing termasuk tiga wanita berusia 21 hingga 45 tahun ditahan reman selama 14 hari bagi membantu siasatan," katanya.