KUALA LUMPUR - Editor buku ‘Rebirth: Reformasi, Resistance, And Hope In New Malaysia’, Kean Wong, yang gambar kulit buku terbabit didakwa menghina Jata Negara, dikesan berada di Australia.
Timbalan Pengarah (Siasatan/Perundangan) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Deputi Superintenden Mior Faridalathrash Wahid berkata, berdasarkan siasatan, Wong menyambut perayaan Tahun Baharu Cina di Malaysia bersama keluarganya pada awal tahun ini sebelum kembali semula ke Australia pada hujung Januari lalu.
Iklan
Iklan
Beliau berkata, berdasarkan maklumat, peguam Wong memaklumkan penyunting buku itu memegang status Pemastautin Tetap (PR) Australia sejak lebih 10 tahun lalu.
"Kami sedang menunggu maklum balas daripada Wong menerusi peguamnya berhubung siasatan buku berkenaan," katanya ringkas kepada Bernama.
Mior Faridalathrash berkata, lapan penulis buku itu serta pereka grafik, pelukis muka hadapan serta penasihat jualan sudah dirakam keterangan dan pihaknya turut mendapatkan pandangan dua pakar sejarah berhubung isu membabitkan buku tersebut.
Katanya, setakat ini siasatan kes menghina Jata Negara masih dijalankan dan hasil siasatan akan diserahkan kepada pejabat Peguam Negara untuk tindakan lanjut.
Kes itu disiasat mengikut Seksyen 5 Akta Lambang dan Nama 2016, Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 8(1) Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.- Bernama