Nyawa si kecil tidak bersalah

Iklan
Bayi lelaki masih hidup ditemui atas bumbung rumah di Bercham, Ipoh. Gambar kanan: Bayi yang ditemui orang awam di dalam kotak air mineral di persimpangan Jalan Kabus - Jalan Bintang, Kuala Ampang.

ADA yang ditemui sudah kaku, ada juga masih bernyawa, namun lebih menyayat hati ada yang dibuang tidak ditemui sampai bila-bila. Itulah nasib akhir yang menimpa si kecil yang dilahirkan ibu yang kejam.

Kelmarin, bayi perempuan yang masih bernyawa ditemui dalam kotak yang ditutup dengan daun di Ampang, Kuala Lumpur. Di Ipoh, bayi lelaki dilaporkan keadaan kritikal selepas dicampak dari tingkat dua sebuah rumah manakala di Pulau Pinang, bayi perempuan maut dicampak dari tingkat 13. Kesemua kes itu berlaku dalam bulan ini.

Iklan
Iklan

Statistik untuk tempoh 2010 hingga 2018 menunjukkan kawasan perumahan menjadi kawasan tertinggi bagi kes pembuangan bayi diikuti tandas sebanyak 108 kes dan 89 kes di tempat pembuangan sampah. Hanya 30 peratus daripada bayi yang dijumpai masih hidup.

Rata-rata perbuatan yang dilaporkan di dada akhbar dan laman maya itu dilakukan pasangan atau ibu muda terutama dalam kalangan remaja belasan tahun.

Iklan

Hanya satu boleh digambarkan, mereka panik. Panik melihat sekujur tubuh berdarah yang dilahirkan sendirian di bilik atau bilik air hingga mendorong mereka melakukan perbuatan itu.

Isu buang bayi yang saban tahun dilaporkan tidak selalunya berakhir dengan kegembiraan, malah meruntun hati rakyat Malaysia apabila memikirkan cara si kecil itu dibuang.

Iklan

Oleh itu, sudah sampai masanya kita melihat isu ini secara lebih mendalam bermula dari peringkat sekolah.

Jenayah seksual

Pendidikan seks yang diperkenalkan di bawah subjek Pendidikan Jasmani dan Pendidikan Kesihatan wajar ditekankan supaya jenayah seksual dapat memberi impak mendalam kepada pelajar terutama di sekolah menengah.

Cabaran mengajar subjek itu sangat besar apabila remaja kini terdedah dengan maklumat meluas hanya secara melayari internet, tetapi mereka tidak belajar tentang bahaya berkaitan dengan seks termasuk kehamilan yang tidak diingini.

Kerajaan menyediakan kaedah pengajaran bagi kanak-kanak prasekolah yang diajar untuk membezakan antara sentuhan selamat dan tidak selamat.

Sekolah menengah pula berbeza berikutan topik seks dibincang lebih mendalam sekali gus membantu remaja memahami diri mereka secara biologi.

Secara keseluruhan pendidikan seks akan memberi peluang kepada pelajar memahami pelbagai isu berkaitan subjek itu termasuk dari sudut undang-undang dan bagaimana untuk mengatakan tidak.

Pelajaran itu adalah sebahagian daripada menghindari penyakit HIV dan dapat mengurangkan aktiviti seks bebas dalam kalangan remaja.

Kejadian buang bayi boleh dihindari apabila disediakan pusat seperti baby hatch di hospital KPJ seluruh negara selain tiga Pusat Perlindungan Orphan Care di Kuala Lumpur, Sungai Petani, Kedah dan Johor Bahru.

Kerajaan menyediakan pusat itu untuk ibu terdesak supaya bayi mereka boleh diletakkan di tempat yang selamat dan bukannya di dalam kotak hingga dihurung semut.

Ibu yang meletakkan bayi mereka di pusat berkenaan tidak perlu bimbang kerana ia bukan satu perbuatan jenayah dan keselamatan dan kesihatan bayi juga dijamin di bawah perlindungan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Bayi berkenaan juga akan ditempatkan bersama individu yang layak selepas melalui proses panel penempatan sesuai dan diputuskan mahkamah sebagai anak angkat.

Selain itu, talian Kasih 15999 disediakan bagi mendapatkan pertolongan. Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat mempunyai kaunselor bertauliah sekali gus membantu dan memberi perlindungan kepada anak-anak itu.

JKM juga menyediakan rumah perlindungan kanak-kanak dan wanita yang hamil luar nikah.

Usaha dan kempen mencegah pembuangan bayi digerakkan kerajaan sejak Jun tahun lalu, namun pencegahan awal perlu bermula daripada kelompok keluarga terlebih dahulu. Awasilah mereka.

* Noor Ainon Mohamed Yusof ialah wartawan Sinar Harian Edisi Perak