Saintis kenal pasti enam jenis Covid-19

Iklan
Jenis virus yang berbeza itu dipercayai dapat menentukan tahap bahaya pesakit yang dijangkiti dan sama ada mereka memerlukan bantuan sokongan alat pernafasan di hospital. - Foto Agensi

LONDON - Saintis telah mengenal pasti enam jenis koronavirus (Covid-19) yang berbeza masing-masing dengan kumpulan gejala tertentu.

Jenis virus yang berbeza itu dipercayai dapat menentukan tahap bahaya pesakit yang dijangkiti atau sama ada mereka memerlukan bantuan sokongan alat pernafasan di hospital.

Iklan
Iklan

Kajian oleh penyelidik di King’s College London di United Kingdom itu akan memberi implikasi besar yang dapat menyelamatkan nyawa.

Sebelum ini, batuk berterusan, demam dan kehilangan deria bau sering dikaitkan sebagai tiga simptom utama Covid-19.

Iklan

Bagaimanapun, data dikumpulkan yang diperoleh daripada 1,600 pengguna aplikasi Covid Symptom Study di UK dan Amerika Syarikat (AS) menunjukkan setiap individu boleh mengalami gejala yang berbeza.

Penyelidik membuat kesimpulan terdapat enam kluster Covid-19 yang menunjukkan bagaimana ia boleh merebak dengan cepat atau tahap keseriusan penyakit tersebut.

Iklan

Selain itu, gejala seperti kekeliruan, sakit perut dan sesak nafas yang jarang dikaitkan dengan Covid-19 telah menjadi ciri virus itu yang dikategorikan sebagai paling teruk.

Hasil kajian itu mendapati hanya 1.5 peratus adalah jenis pertama, 4.4 peratus adalah jenis kedua manakala 3.3 peratus jenis ketiga memerlukan bantuan sokongan pernafasan.

Enam jenis Covid19 berasarkan kluster simptom.

Laporan itu juga menunjukkan 8.6 peratus, 9.9 peratus dan 19.8 peratus adalah jenis keempat, kelima serta keenam.

Hampir separuh daripada pesakit jenis Covid-19 keenam terpaksa dimasukkan ke hospital berbanding 16 peratus pesakit dalam jenis pertama.

Secara amnya, pesakit dalam kelompok virus keempat, kelima atau keenam cenderung terdiri daripada warga emas dan individu yang lemah atau mereka yang mengalami berat badan secara berlebihan dan menghidap penyakit kronik seperti diabetes atau penyakit paru-paru berbanding pesakit dengan jenis virus pertama, kedua atau ketiga.

Setelah mengenal pasti jenis kluster tersebut, penyelidik kemudiannya menggabungkan maklumat tentang umur, jantina, Indeks Jisim Tubuh (BMI), rekod penyakit sedia ada dengan simptom yang dikumpulkan dalam tempoh lima hari sejak jangkitan bermula.

Ia membolehkan penyelidik merancang model bagi membuat ramalan lebih tepat dan jenis kumpulan virus Covid-19 sebenar menyerang pesakit.

"Penemuan ini penting untuk penjagaan dan pemantauan individu yang berpotensi terdedah hingga paling teruk. Doktor mempunyai masa untuk memberikan bantuan seperti memantau paras oksigen dan gula dalam darah jika dapat meramalkan jenis virus lebih awal,” kata Dr Claire Steves dari King’s College London.

Sementara itu, Profesor Kejuruteraan Penjagaan Kesihatan di institusi sama, Sebastien Ourselin berkata, kajian itu memberi pemahaman lebih jelas kepada masyarakat tentang impak Covid-19.

Profesor Tim Spector pula berpendapat keputusan penyelidikan mereka menunjukkan betapa pentingnya orang ramai untuk membiasakan diri menggunakan aplikasi tersebut pada setiap hari.

"Ia membantu kami untuk mengenal pasti mana-mana kawasan titik panas atau ancaman jangkitan gelombang kedua,” ujarnya.

Virus mutasi D614G

Covid-19 yang sedang menyerang dunia ketika ini didakwa tidak sama dengan virus Sars-Cov-2 yang pertama kali muncul di China pada akhir tahun lalu.

Saintis mendakwa mereka telah mengesan ribuan mutasi atau perubahan genetik virus tersebut.

Virus mutasi digelar D614G membabitkan spike protein yang memasuki ke dalam sel dan dipercayai muncul pertama kali di Itali serta kini dikesan pada 97 peratus sampel di seluruh dunia.

Terdapat bukti secara tidak langsung yang menunjukkan mutasi tersebut menjadikan Covid-19 lebih mudah disebarkan pada manusia.

Pesakit dalam kelompok virus keempat, kelima atau keenam cenderung terdiri daripada warga emas atau yang menghidap penyakit kronik. - Foto Agensi

Dua kajian mendapati virus yang mengalami mutasi tersebut mempunyai sejumlah besar virus dalam sampel swab pesakit.

Menurut Profesor Bette Korber di Los Alamos National Laboratory di AS, virus mutasi itu telah menjadi dominan termasuk di China yang menyebabkannya lebih mudah tersebar antara manusia berbanding versi asal.

"Varian baharu akan lebih ‘berkuasa’ apabila dua versi virus tersebut beredar pada masa yang sama,” jelasnya.

Difahamkan, varian D614G sangat dominan dan menjadi pandemik serta telah merebak sejak bermulanya penularan di UK dan pantai timur AS. - Agensi