Bapa bawa dua anak lepas gian dalam semak

Iklan
Dua kanak-kanak ditinggalkan bapanya selepas menyedari kehadiran anggota penguat kuasa AADK.

BUKIT MERTAJAM - Seorang lelaki tergamak membawa bersama dua anak lelakinya berusia 6 dan 9 tahun untuk melepaskan gian dadah dalam semak berhampiran kawasan sawah padi di Permatang Pauh di sini petang kelmarin.

Bagaimanapun lelaki berusia 40-an itu melarikan diri dan meninggalkan dua orang anaknya selepas kawasan berkenaan diserbu sepasukan anggota Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) kira-kira jam 6.30 petang.

Iklan
Iklan

Pengarah AADK Negeri Pulau Pinang, Elmariah Chung berkata, serbuan Ops Bersepadu itu dilakukan hasil intipan pihaknya selepas mendapati kawasan berkenaan dijadikan tempat melepaskan gian sejak seminggu lalu.

Menurutnya, ketika serbuan terdapat tiga lelaki dan dua kanak-kanak di kawasan itu.

Iklan
Kawasan semak berhampiran sawah padi di Permatang Pauh yang dijadikan tempat melepaskan gian dadah.

"Sebaik menyedari kehadiran anggota, kesemua lelaki itu melarikan diri ke dalam hutan dengan meninggalkan kanak-kanak terbabit.

"Dua lelaki berjaya ditahan namun bapa kepada kanak-kanak berkenaan berjaya melarikan diri," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini hari ini.

Iklan

Elmariah berkata, hasil saringan air kencing mendapati mereka positif dadah jenis methamphetamine dan opiat.

Beliau berkata, dua kanak-kanak terbabit dihantar kepada keluarga terdekat bagi menjaga kebajikan mereka.

Katanya, kesemua yang ditahan dibawa ke lokap AADK dan akan disiasat di bawah Seksyen 3(1) Akta Pemulihan Dadah 1983.

"Jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman perintah menjalani pemulihan dalam institusi Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) selama dua tahun atau pemulihan dalam komuniti selama dua hingga tiga tahun," katanya.