KUALA LUMPUR - Seramai 5,951 tahanan di Depot Tahanan Imigresen dihantar pulang sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac sehingga 1 Julai.
Kementerian Dalam Negeri (KDN) memaklumkan, daripada jumlah itu seramai 4,110 adalah rakyat Indonesia; Thailand (637); Myanmar (391); Pakistan (380); Bangladesh (279); China (73); India (26); Sri Lanka (11) dan lain-lain 44 orang.
Iklan
Iklan
"Dari 1 Januari hingga 2 Julai 2020, Jabatan Imigresen telah melaksanakan 4,301 operasi yang melibatkan pemeriksaan 68,033 orang warganegara asing. Hasilnya, seramai 17,473 pendatang asing tanpa izin (PATI) dan 250 orang majikan telah diambil tindakan undang-undang.
"Daripada jumlah itu, warganegara Indonesia mencatat jumlah tangkapan yang tertinggi iaitu 6,514 dan diikuti Bangladesh seramai 2,964 orang dan bakinya adalah Filipina, Myanmar, Thailand dan lain-lain,” menurut KDN dalam jawapan bertulis yang dipaparkan di laman web Parlimen bagi menjawab soalan Akmal Nasrullah Mohd Nasir (PH-Johor Bahru).
Selain itu, KDN memaklumkan sebanyak 59,946 operasi dijalankan Jabatan Imigresen dengan tangkapan seramai 191,632 PATI dan 5,484 orang majikan pada tahun 2016 hingga 2019. - Bernama