SUNGAI BULOH - [DIKEMAS KINI] Satu janin lelaki ditemukan dalam keadaan terapung di dalam loji pembetungan Indah Water di Damansara Damai semalam.
Janin tersebut dipercayai ditemui pekerja syarikat berkenaan sebelum melaporkan kejadian itu kepada pihak polis.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Buloh, Penolong Kanan Penguasa Bomba Muhammad Hazrin Zulkifli berkata, pihaknya menerima panggilan dari Balai Polis Sungai Buloh yang meminta bantuan untuk mengeluarkan janin tersebut pada jam 3.15 petang.
"Anggota bomba mengambil masa lima minit untuk mengangkat janin tersebut," katanya.
Katanya, janin tersebut kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faizal berkata, janin yang cukup sifat itu telah dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk bedah siasat bagi mengetahui usia serta punca kematiannya.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor B Vanitha di talian 017-2229832," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dengan membuang mayat secara sulit.