SHAH ALAM - Pemuda Umno mendesak Ketua Hakim Negara, Tan Sri Richard Malanjum dan Peguam Negara, Tommy Thomas tampil memberikan penjelasan kepada rakyat sama ada tindakan mereka menari sepentas bersama peguam-peguam persendirian adalah mematuhi Kod Etika Kehakiman dan masih di dalam lingkungan tatakelakuan penjawat awam yang dilantik.
Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, setakat ini, hanya pimpinan PH dan netizen penyokong parti itu sahaja berhempas pulas mempertahankan tindakan menari kedua-dua penjawat awam berkenaan.
"Ramai juga terkhilaf dengan pendirian Pemuda Umno seolah-olah kami menentang majlis tari-menari sedangkan yang dibangkitkan adalah mengenai persepsi dan kecurigaan rakyat terhadap prinsip pemisahan kuasa, etika dan integriti institusi kehakiman.
ARTIKEL BERKAITAN: Sejak bila menari jadi tradisi peguam?
ARTIKEL BERKAITAN: Nak joget 14 hari 14 malam itu hak awak tetapi...
"Oleh yang demikian, tindakan untuk terus berdiam diri oleh Richard, Tommy atau Menteri Undang-undang, Datuk Liew Vui Keong dengan harapan isu ini berlalu pergi hanyalah akan membenarkan persepsi bahawa mereka telah melanggar peruntukan Kod Etika Hakim 2009 atau lebih buruk, mereka sebenarnya meraikan kemenangan PH pada PRU14," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Sebelum ini, tular video di laman sosial menunjukkan Tommy dan Richard menari di atas pentas pada majlis sosial di Magellan Sutera Resort di Kota Kinabalu, Sabah bersama beberapa personaliti terkenal tular dan mendapat reaksi daripada pelbagai pihak.
Mengulas lanjut, Asyraf berkata, tokoh peguam yang sebelum ini lantang dalam isu-isu integriti dan etika kehakiman dan perundangan seperti Datuk S Ambiga juga berdiam diri tanpa memberi komen sama sekali mengenai perkara ini.
"Wajarlah mereka bertiga untuk tampil segera di dalam satu sidang akhbar dan memberikan penjelasan agar integriti dan kebebasan Institusi kehakiman negara dapat dijamin.
"Tindakan berdiam diri hanya akan membina persepsi tidak sihat dikalangan rakyat terhadap kredibiliti Institusi Kehakiman disamping menonjolkan keangkuhan bahawa mereka begitu berkuasa sehinggakan tiada sesiapapun yang mampu memaksa mereka membuat penjelasan termasuklah Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang sehingga kini masih belum mengeluarkan apa-apa kenyataan," katanya.