IPOH - Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Wanita PKR Perak sedang mempergiatkan usaha menambah keahlian baharu ke dalam sayap parti masing-masing.
Ketua Wanita PKR Perak, Chua Yee Ling berkata, pihaknya menyasarkan sekurang-kurangnya 5,000 keahlian baharu bagi sayap itu dalam masa enam bulan.
Menurutnya, kesemua cabang wanita di Perak diarahkan untuk merekrut 200 ahli baharu dalam usaha menambah keahlian parti.
"Dalam tempoh enam bulan, setiap cabang, mereka perlu rekrut 200 ahli wanita baharu. Jadi 24 cabang akan dapat 4,800 ahli baharu dan saya sebagai ketua wanita negeri perlu tambah 200 lagi ahli menjadi 5,000.
"Ini sasaran utama kita dan selepas itu kita akan menyediakan program kepimpinan wanita untuk melengkapkan mereka dengan keyakinan, ilmu dan kemahiran," katanya kepada Sinar Harian.
Beliau berkata demikian ketika menjadi panel Sinar Live bersama-sama Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Perak, Mohamad Hairul Amir Sabri, hari ini.
Yee Ling berkata, Wanita PKR juga akan memperkasakan organisasi parti dengan memastikan kesemua 24 cabang mempunyai barisan kepimpinan yang lengkap.
Sementara itu, Mohamad Hairul Amir berkata, AMK pula menyasarkan setiap kali mesyuarat di peringkat negeri, setiap cabang perlu membawa 100 borang keahlian baharu.
"Kita juga akan fokus kepada keahlian kerana ia merupakan hasrat pengerusi PKR Negeri, Farhash Wafa Salvado Rizal Mubarak yang mana untuk tempoh tiga tahun PKR Perak setiap cabang perlu ada 3,000 keahlian.
"Jadi untuk AMK kita menetapkan setiap kali mesyuarat, minimum keahlian baharu 100 orang setiap cabang.
"Contohnya jika mesyuarat itu diadakan setiap bulan maka setiap cabang mesti ada 100 ahli baharu," katanya.
Beliau berkata, sekiranya PKR mempunyai keahlian yang ramai, parti itu akan menjadi kuat.
Sementara itu, Mohamad Hairul Amir berkata, AMK Perak akan melaksanakan lebih banyakkan program yang dekat dengan pemuda khususnya berkaitan ekonomi anak muda.