KUALA TERENGGANU - Orang ramai masih berpeluang melihat Komet Neowise sehingga akhir bulan Julai ini.
Pensyarah ilmu falak dari Fakulti Pengajian Kontemporari Islam, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Prof Madya Dr Baharrudin Zainal berkata, ia dapat dilihat dengan memilih tempat-tempat yang ufuk barat lautnya jelas, iaitu kira-kira 30 minit selepas Maghrib.
Menurutnya, orang ramai boleh cuba menjejak pada kedudukan 30° ke kanan posisi matahari terbenam dan setinggi 15° di atas ufuk.
"Jika melihat dengan mata kasar, komet ini kelihatan sebagai sebutir bintang yang resap. Jika dengan binokular bersaiz sederhana atau secara fotografi, ekor komet ini yang menjangkau sepanjang 10° boleh kelihatan.
"Di Kuala Terengganu, komet ini boleh dilihat jika kita berada di kawasan gelap. Tempat yang paling baik sepanjang pantai yang jelas ufuk arah barat laut ialah seperti di pesisiran pantai Batu Rakit ke pantai Merang," katanya kepada Sinar Harian.
Jelas Dr Baharrudin, komet merupakan bebola ais beku yang masuk ke dalam sistem suria disebabkan faktor graviti entiti dalam sistem ini.
Komet Neowise katanya, ditemui pihak Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Amerika Syarikat (NASA) pada bulan Mac lepas, semasa mereka sedang melakukan kajian terhadap objek terdekat bumi menggunakan pengukuran infra merah.
Berdasarkan catatan NASA, komet ini mengorbit sistem suria setiap 6,800 tahun dan dijangka mendekati Bumi esok (22 Julai) pada jarak 100 juta kilometer.
"Walaupun sebahagian penduduk bumi telah melihat komet ini pada bulan lepas pada waktu Subuh, sekarang komet ini berada selepas waktu matahari terbenam pula.
"Semakin hari komet ini berada semakin tinggi, tetapi kecerahan berkurangan, ditambah pula faktor fasa bulan yang semakin besar," katanya.