Punca kematian bayi diketahui selepas bedah siasat

Iklan
Ayob Khan

JOHOR BAHRU - Polis masih menunggu laporan benda siasat bagi mengetahui punca sebenar kematian seorang bayi lelaki berusia tiga bulan di Kampung Bukit Tempurung, Gelang Patah.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, siasatan masih dijalankan sama ada bayi berkenaan mati akibat didera dan kemungkinan bapa yang menjaga bayi tersebut ketika itu di bawah pengaruh dadah.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, setakat ini polis masih belum memutuskan lagi punca kematian bayi berkenaan kerana masih menunggu laporan bedah siasat daripada doktor.

"Kita kena tunggu laporan itu baru boleh disahkan didera atau mati atas sebab lain. Tetapi memang ada kes (bayi meninggal dunia dalam jagaan bapa), laporan pun sudah dibuat.

Iklan

"Bapa bayi berkenaan mungkin positif dadah atau mungkin juga bayi berkenaan jatuh katil (hingga menyebabkan kematian)," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Kontinjen Polis (IPK) Johor di sini hari ini.

Dalam kejadian 5.15 petang semalam, bayi berusia tiga bulan, Muhammad Dzul Syaqib meninggal dunia ketika dalam jagaan bapanya yang dipercayai positif dadah.

Iklan

Bayi tersebut dijaga oleh bapanya, ketika nenek dan ibunya keluar berniaga di sebuah warung makanan di Taman Nusa Perintis, Gelang Patah.

Polis sudah menahan bapa bayi itu yang berusia 31 tahun dan ujian air kencingnya didapati positif dadah.

Kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a)Akta Dadah Berbahaya 1952.