KOTA BHARU - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri Kelantan sudah mengemukakan cadangan bagi membina empat lagi balai bomba dan penyelamat (BBP) baharu di negeri ini.
Pengarahnya, Md Salleh Sarbini berkata, cadangan yang dibuat menerusi peruntukan Rancangan Malaysia Ke-12 itu adalah membabitkan kawasan berjarak jauh serta mempunyai kepadatan penduduk tinggi.
Katanya, tujuan utama cadangan pembinaan empat BBP lagi adalah untuk meningkatkan ‘response time’ bagi memastikan anggotanya dapat tiba di tempat kecemasan dalam masa kurang 10 minit dan memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat.
"Antara lokasi yang dicadangkan adalah di kawasan Chiku, (Gua Musang), Laloh, (Kuala Krai), antara laluan Ketereh ke Machang serta Pantai Cahaya Bulan di Kota Bharu.
"Kalau balai dekat atau terdapat pasukan bomba kita boleh respons dengan cepat dan dapat menyelamatkan nyawa serta mengurangkan kerugian. Ini semua bergantung kepada keputusan kerajaan,” katanya hari ini.
Beliau ditemui media selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang tahun 2019 melibatkan 46 pegawai di Dewan Utama JBPM, Tunjong dan menyerahkan sumbangan berjumlah RM28,000 setiap seorang kepada dua balu anggota yang meninggal dunia.
Katanya, selain permohonan empat balai bomba baharu, kerja pembinaan sebuah BBP Kemahang di Tanah Merah menelan belanja sebanyak RM3.3 juta serta sebuah bengkel kejuruteraan di BBP Tunjong bernilai RM9 juta sedang giat dijalankan selepas tertangguh akibat koronavirus (Covid-19).
Dalam pada itu, Md Salleh berkata, sepanjang enam bulan pertama tahun ini, pihaknya menerima 2,395 panggilan kecemasan dan daripada jumlah itu sebanyak 1,111 panggilan membabitkan kebakaran.
Katanya, pihaknya juga menerima 546 panggilan menyelamat, 735 tugas-tugas khas termasuk mencari orang hilang dan tiga panggilan palsu.
"Untuk tahun ini juga JBPM Kelantan berjaya menyelamatkan harta benda daripada terus musnah dalam kebakaran sebanyak RM326.7 juta serta kerugian dianggarkan sebanyak RM25.2 juta," katanya.