BACHOK - Seorang remaja berusia 16 tahun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dua pertuduhan mencabul dua anak saudara yang berusia empat dan tujuh tahun.
Pelajar Tingkatan Empat yang berasal dari Pasir Puteh tersebut didakwa di hadapan Majistret Mohd Dinie Shazwan Ab Shukor.
Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa melakukan hubungan seks dengan anak saudaranya yang berusia tujuh tahun dengan memasukkan jari ke dalam kemaluan tanpa kebenarannya.
Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa melakukan kesalahan sama terhadap anak saudaranya yang berusia empat tahun.
Kedua-dua kesalahan didakwa dilakukan di sebuah rumah di Kampung Jeram B, Pasir Puteh pada jam 1 petang antara Januari sehingga 23 Jun lalu.
Pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 377(CA) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum 30 tahun serta sebatan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Gayathri Sambath manakala remaja berkenaan diwakili peguam bela Mohd Norasmawi Norani.
Mahkamah membenarkan ikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh.
Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 27 Ogos depan.
Remaja berkenaan membayar jumlah ikat jamin yang ditetapkan oleh mahkamah.