Tindakan tegas jika ingkar PKPP

Iklan
Ismail Sabri pada sidang akhbar perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di bangunan Parlimen hari ini. Foto: Bernama

KUALA LUMPUR - Tiada lagi amaran serta nasihat akan diberikan, sebaliknya pihak polis akan segera mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang didapati melanggar Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia berikutan kesalahan ingkar prosedur operasi standard (SOP) yang semakin meningkat dalam kalangan masyarakat kerana beranggapan PKP telah tamat selain tiada lagi tindakan undang-undang akan dikenakan terhadap mereka.

Iklan
Iklan

Terdahulu, Ismail Sabri berkata, polis telah menahan 80 individu atas kesalahan ingkar arahan PKPP dan daripada jumlah itu, seramai 20 individu direman dan empat lagi telah dijamin manakala 56 individu dikenakan kompaun.

Jelasnya, antara kesalahan ingkar arahan PKPP ialah aktiviti di dalam pub atau kelab malam dengan 37 kesalahan dan aktiviti melibatkan kehadiran orang ramai yang menyukarkan penjarakkan sosial (43 kesalahan).

Iklan

"Kelab malam dan pusat hiburan masih dalam senarai aktiviti dilarang. Kerajaan melalui Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) akan meningkatkan pemantauan dan penguatkuasaan ke atas kelab-kelab malam dan pusat hiburan yang beroperasi semasa tempoh PKPP.

"Ini termasuk tindakan menggantung lesen perniagaan. Pasukan petugas khas operasi pematuhan PKPP akan mempertingkatkan pemeriksaan serta mengambil tindakan ke atas pemilik premis dan orang awam yang tidak mematuhi SOP PKPP yang ditetapkan,” katanya pada sidang akhbar perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di bangunan Parlimen hari ini.

Iklan

Selain itu, Ismail Sabri berkata, terdapat banyak laporan polis dan pasukan petugas operasi pematuhan PKPP terhadap premis makanan yang melakukan kesalahan melanggar PKPP antara lain adalah amalan penjarakkan sosial oleh pelanggan.

Berikutan itu, beliau meminta setiap pemilik premis makanan untuk mengambil perhatian dan mematuhi SOP yang ditetapkan jika tidak mahu dikenakan tindakan tegas.

"Kerajaan berharap rakyat akan terus menjadi mata dan telinga bagi pihak berkuasa untuk melaporkan apa-apa tindakan yang melanggar SOP,” katanya lagi.

Mengenai perkembangan lain, Ismail Sabri berkata, pihak polis telah berjaya menahan 14 warganegara asing di sekatan jalan raya Operasi Benteng atas kesalahan imigresen semalam.

Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram dan tidak akan berkompromi terhadap mereka yang terlibat dalam penyeludupan masuk pendatang asing tanpa izin. - Bernama