IPOH - Restoran yang dikaitkan dengan gambar pesakit di bawah pengawasan (PUS) berkaitan wabak koronavirus (Covid-19) yang tular semalam mengambil inisiatif menjalankan proses sanitasi.
Pemilik restoran yang mahu dikenali sebagai Sham berkata, pihaknya memohon kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak untuk melakukan sanitasi di seluruh ruang restorannya sebagai langkah keselamatan.
"Restoran kami beroperasi antara jam 7.30 pagi hingga 12 tengah hari mengikut prosedur operasi standard (SOP) dengan merekod nama dan mengambil bacaan suhu badan.
"Berkaitan wanita itu, kami tidak menyedari langsung kerana dia memakai baju lengan panjang sehinggalah gambarnya tersebar kelmarin,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini hari ini.
Sham berkata, pihak kesihatan dan polis ada menjalankan siasatan selepas gambar ‘makcik gelang pink’ tular di laman sosial.
Bagaimanapun katanya, perniagaan kedainya sedikit terjejas selepas tersebar gambar tersebut.
"Perniagaan dah dua hari ‘slow’. Kami pun faham mesti ada pelanggan yang berasa takut dengan keadaan itu.
"Restoran kami mempunyai 20 peniaga dan pekerja bercadang untuk menjalani saringan. Apa-apa pun kami menunggu hasil siasatan daripada pihak Kementerian Kesihatan (KKM) dan polis,” katanya.
Sham berkata, wanita tersebut wajar mengikuti sepenuhnya arahan KKM dengan mematuhi Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di rumah (HSO) agar sama-sama membantu kerajaan dalam mengekang penularan Covid-19 itu.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Meru Raya, Penolong Penguasa Bomba Sharudi Muhamad Halil berkata, pihaknya menerima permohonan pihak restoran bagi melakukan sanitasi.
"Anggota melakukan proses sanitasi di seluruh ruang restoran serta pekarangan restoran tersebut.
"Selain itu, kami turut mengajar kaedah sanitasi yang betul kepada pekerja-pekerja di restoran terbabit,” katanya.
ARTIKEL BERKAITAN - JKN Perak siasat individu PUS langgar kuarantin Covid-19
Semalam Sinar Harian melaporkan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perak sedang menjalankan siasatan berhubung seorang pesakit (PUS) didakwa makan di sebuah restoran di Meru Raya.
Pengarahnya, Datuk Dr Ding Lay Ming memaklumkan siasatan telah dijalankan dan tindakan sewajarnya termasuk perundangan akan diambil sekiranya dakwaan itu berasas.