Kena rebut tempat berdasarkan merit: Maloney

Iklan

PEMAIN berpangkalan di Amerika Syarikat (AS), Wan Kuzri Wan Ahmad Kamal boleh menjadi aset kepada skuad negara tetapi masih belum menjamin tempat dalam senarai akhir 23 pemain pada Kejohanan Bawah 19 Tahun (B-19) Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2020 pada Oktober, kata ketua jurulatih skuad B-18 kebangsaan, Brad Maloney.

Pemain tengah Akademi Bola Sepak St Louis berusia 18 tahun itu menjadi bualan hangat apabila beliau akhirnya menyertai 34 pemain lain dalam latihan skuad B-18 Khamis lepas selepas penantian beberapa bulan.

Iklan
Iklan

Namun, situasi itu menimbulkan perasaan tidak senang dalam kalangan peminat bola sepak tempatan yang menggambarkan beliau dinilai terlalu tinggi.

Bagaimanapun, Maloney berpuas hati dengan perkembangan Wan Kuzri buat masa ini.

Iklan

"Adalah normal untuk seseorang menjadi sedikit berbeza...terutamanya yang datang dari luar negara. Tetapi seperti saya cakap, pemain (Wan Kuzri) perlu mendapatkan tempatnya berdasarkan merit.

"Daripada apa yang saya lihat setakat ini, beliau agak baik. Jadi, saya rasa beliau dapat menjadi aset kepada pasukan tetapi sudah tentu, tiada siapa yang dijamin mendapat tempat dalam skuad akhir,” kata Maloney selepas sesi latihan skuad itu di Wisma FAM di Kelana Jaya di sini.

Iklan

Sementara itu, Maloney berharap dapat mengatur dua perlawanan persahabatan sebelum kem latihan berpusat berakhir pada Sabtu supaya beliau dapat melihat potensi sebenar Wan Kuzri.

Perlawanan persahabatan itu juga akan menjadi ukuran kepada kemajuan skuad kerana mereka berusaha untuk menjadi pasukan Malaysia pertama yang layak ke Final Piala Dunia Bawah 20 berdasarkan merit.

Maloney yang menggugurkan empat pemain daripada skuad latihan semasa berkata, kem latihan berpusat seterusnya akan diadakan bermula 3 Ogos ini.

Kejohanan Bawah 19 AFC 2020 yang dijadualkan diadakan di Uzbekistan dari 14 hingga 31 Oktober adalah pusingan kelayakan untuk Piala Dunia Bawah 20 pada 2021 (di Indonesia).

Malaysia diundi dalam Kumpulan D untuk kejohanan bawah 19 bersama bekas juara Qatar, Tajikistan dan Yemen.- Bernama