Kerajaan Selangor beri tempoh dua hari kepada Prasarana

Iklan
Sze Han (empat dari kanan) ketika meninjau lokasi jalan mendap di Jalan Klang-Banting di sini hari ini.

KLANG - Kerajaan Selangor memberi masa dua hari kepada Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) untuk membuat siasatan dan membentangkan laporan berhubung insiden jalan mendap di Jalan Klang-Banting semalam.

Dalam kejadian pada jam 3 petang, dua lorong di Jalan Klang - Banting berhampiran lampu isyarat Johan Setia di sini mendap dipercayai akibat kerja-kerja pembinaan Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) di kawasan itu.

Iklan
Iklan

Exco Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru Selangor, Ng Sze Han berkata, laporan itu perlu dibentangkan dalam Mesyuarat Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) Khamis ini.

"Saya sudah beritahu kepada pihak Prasarana mereka perlu siapkan laporan kejadian dan bentangkan kepada kerajaan negeri dalam masa terdekat.

Iklan

"Mereka (Prasarana) beritahu mereka akan cuba siapkan,” katanya ketika meninjau lokasi jalan mendap itu di sini hari ini.

Terdahulu, beliau berkata, pihaknya kesal dengan kejadian kali kedua dalam tempoh sebulan yang melibatkan lokasi pembinaan LRT3.

Iklan

Sebelum ini, sebuah kerangka besi projek pembinaan LRT3 dilaporkan tumbang semasa kerja pembinaan dijalankan berhampiran Kompleks Pasar Meru Jun lalu.

"Kejadian ini adalah yang kedua dalam masa sebulan. Sepatutnya insiden seperti ini tidak boleh berlaku.

"Sepatutnya sebelum pembinaan, semua ‘technical survey’ telah siap dibuat, kenapa kejadian ini masih boleh berlaku,” katanya.

Beliau berharap laluan jalan yang menghubungkan Klang, Banting dan Pelabuhan Klang itu dapat dipulihkan secepat mungkin.

Katanya, keadaan tanah di kawasan itu juga harus diperiksa pihak terlibat bagi memastikan ia masih kukuh.

"Saya juga mahu jaminan bahawa insiden seperti ini tidak akan berlaku lagi di tapak pembinaan LRT3,” katanya.

Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelabuhan Klang, Azmizam Zaman Huri meminta pihak terlibat terutama polis dan Majlis Perbandaran Klang (MPK) melakukan kajian alternatif bagi menyuraikan trafik di lokasi terjejas.

Menurutnya, apabila laluan mendap ditutup kepada pengguna jalanraya, trafik kini dialihkan ke laluan perumahan di Kota Bayumas dan Bandar Parkland.

"Saya terima aduan daripada penduduk jalan itu tidak sesuai untuk laluan kenderaan berat.

"Harap ada kajian alternatif lain untuk mengawal kenderaan berat supaya tidak melalui jalan tersebut kerana khuatir berlaku masalah lain seperti keretakan rumah dan sebagainya,” katanya.

Sementara itu Yang Dipertua MPK, Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin berharap kejadian itu yang terakhir berlaku kerana ia boleh menganiaya nasib ramai orang.

"Dah dua kali, cukuplah... lepas ini kita akan lebih tegas dari segi kebenaran merancang,” katanya.