Tali barut nelayan asing terima habuan lumayan

Iklan
Muhd Nur Syam (kanan) menunjukkan nelayan asing yang berjaya dicekup APMM Kelantan.

PASIR PUTEH - Nelayan tempatan sanggup menjadi tali barut dengan mendedahkan maklumat berkaitan aktiviti penguatkuasaan di perairan negara ini kepada ejen nelayan asing kerana upah diterima lumayan.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kelantan, Kepten Maritim Muhd Nur Syam Asmawie Yaacob berkata, lebih mengejutkan habuan yang diterima oleh nelayan tempatan itu bergantung kepada jenis maklumat.

Iklan
Iklan

"Jika maklumat berjaya membantu ejen nelayan asing atau penyeludup, maka banyaklah ganjaran yang bakal diterima oleh tali barut.

"Jangan terkejut jika ada nelayan turun ke laut tapi pulang dengan tangan kosong kerana mereka sudah menerima habuan dari ejen nelayan asing atau penyeludup," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar rampasan gamat dan tangkapan nelayan asing Vietnam yang menceroboh perairan negara di sini hari ini.

Menurutnya, buat masa ini APMM Kelantan sedang mengumpulkan maklumat penuh berhubung perkara itu.

Iklan

Katanya, apabila semuanya lengkap APMM Kelantan akan mendedahkan modus operandi yang digunakan oleh mereka terlibat.

"Justeru saya nasihatkan kepada nelayan tempatan termasuklah pemancing supaya berhenti dan tidak menjadi tali barut kepada ejen nelayan asing.

"Tindakan tegas akan dikenakan kepada semua individu yang menjadi dalang dan terlibat dalam aktiviti merompak sumber negara," katanya.

Mengulas mengenai rampasan gamat dan penahanan 11 nelayan asing Vietnam, Muhd Nur Syam berkata, kesemua mereka itu ditahan dalam dua serbuan berasingan petang semalam.

Katanya, serbuan pertama jam 6 petang di muara Kuala Tok Bali APMM Kelantan berjaya menahan enam awak-awak termasuk tekong di atas sebuah kapal.

"Serbuan kedua pada jam 7.03 petang di lokasi yang sama, lima lagi nelayan Vietnam termasuk tekong berjaya dicekup.

"Kesemua mereka ini berusia antara 16 hingga 53 tahun. Hasil pemeriksaan ke atas kedua-dua kapal asing itu membawa kepada penemuan gamat dan minyak diesel bernilai RM260,000," katanya.