PENUBUHAN Pasukan Petugas bagi mengkaji keberkesanan Program Podium dijangka dapat membantu pemegang taruh sukan negara termasuk Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN) merangka struktur perlaksanaan program latihan yang lebih baik untuk atlet kebangsaan.
Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata, beliau menyambut baik penubuhan pasukan petugas berkenaan dan melahirkan keyakinan akan kewibawaan bekas Ketua Pegawai Eksekutif ISN, Datuk Dr Ramlan Abd Aziz untuk mengetuai pasukan itu.
"Jika sebelum ini kita bergantung kepada dana untuk beroperasi kerana ia merupakan program tahunan, tetapi kali ini kita diberi peluang untuk menjadikan program latihan atlet dalam bentuk pembangunan selama lima tahun.
"Ini memberi banyak kesan dari segi pengurusan prestasi, operasi dan sebagainya. Jadi, sudah sampai masanya proses penilaian perlu dilakukan dan penubuhan pasukan petugas ini tepat pada masanya,” katanya kepada pemberita selepas bengkel perancangan program latihan persatuan sukan kebangsaan dari 2020 sehingga 2020 di sini hari ini.
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican sebelum ini dilaporkan berkata, bahawa satu pasukan petugas bakal dibentuk bagi mengkaji keberkesanan Program Podium yang wujud sejak 2016 untuk merealisasikan hasrat negara meraih emas pada Sukan Olimpik Tokyo 2020 tahun depan.
Mengulas mengenai bengkel berkenaan, Ahmad Shapawi berkata, program bertujuan mendapatkan maklumat daripada persatuan sukan kebangsaan berhubung perancangan latihan serta penyertaan kejohanan antarabangsa dari 2020 hingga 2022.
Katanya, tumpuan khusus bengkel itu ialah persediaan menghadapi empat temasya sukan antarabangsa, iaitu Sukan Olimpik Tokyo 2020 yang ditunda ke tahun depan, Sukan SEA 2021 di Vietnam, Sukan Komanwel 2022 di Birmingham, England dan Sukan Asia 2022 di Hangzhou, China.
"Setiap tahun, kita akan melihat balik penambahbaikan dalam setiap temasya sukan dan ini adalah proses biasa yang berlaku, namun kali ini agak serius kerana isu (pandemik) Covid-19 yang melanda (dunia) ketika ini menyaksikan banyak kalendar kejohanan (sukan antarabangsa) tidak dapat ditentukan.
"Jadi, kita terpaksa buat pendekatan yang lebih meluas lagi supaya dapat mencari perancangan formula yang terbaik dengan keadaan ketidaktentuan pertandingan yang dibentangkan oleh persatuan sukan kebangsaan,” jelas Ahmad Shapawi.- Bernama