KANGAR - Seorang buruh didakwa masing-masing di Mahkamah Majistret dan Mahkamah Sesyen Kangar hari ini berhubung pertuduhan termasuk mendatangkan kecederaan terhadap anggota polis pengiring pada bulan ini.
Di Mahkamah Majistret, tertuduh, Zaidi Baharom, 43, didakwa atas empat pertuduhan iaitu menghalang tugas anggota polis daripada menahan kereta dipandunya di Jalan Felda Mata Ayer, Padang Besar pada 12.53 tengah hari, 11 Julai 2020, memiliki ketum dan dadah serta memandu di bawah pengaruh dadah sehingga menyebabkan kecederaan ke atas dua anggota polis.
Dia didakwa melakukan kesalahan di tepi jalan Felda Mata Ayer dekat Padang Besar, dekat sini, antara jam 12.20 hingga 12.53 tengah hari pada 11 Julai lalu.
Tertuduh mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret, Kamaliza Md Zain.
Majistret berkenaan menetapkan sebutan kes pada 5 Oktober depan.
Sementara itu, di Mahkamah Sesyen, tertuduh juga tidak mengaku bersalah atas pertuduhan membawa parang yang menjadi kesalahan mengikut Seksyen 7(1) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.
Pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ainul Shahrin Mohamad yang kemudian menetapkan sebutan kes pada 28 Ogos depan dan membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin.
Pada 11 Julai lalu, dua anggota polis pengiring Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Seri Nancy Shukri, mengalami kecederaan ringan akibat dirempuh seorang suspek yang didakwa cuba meloloskan diri daripada anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) yang mengejarnya sejauh 10 kilometer (km).