Liga-M: KBS pantau situasi semasa Covid-19

Iklan
Wan Ahmad Fayshal (kanan) melihat persiapan dan kemudahan yang terdapat di sebuah venue Sukma 2020 di Arena Emas, Johor Bahru hari ini.

KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) akan meminta nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) berhubung penganjuran semula Liga Malaysia (Liga-M) ekoran peningkatan jumlah kes koronavirus (Covid-19) ketika ini.

"Peningkatan jumlah kes Covid-19 ketika ini membimbangkan dengan beberapa kes baharu. Kita masih berbincang perlu atau tidak menangguhkan liga tersebut. Buat masa ini KBS masih belum membuat apa-apa keputusan.

Iklan
Iklan

"Kita akan patuhi keputusan yang dibuat MKN nanti kerana keselamatan dan kesihatan atlet termasuk peminat bola sepak serta semua yang terlibat adalah keutamaan," kata Timbalan Menterinya, Wan Ahmad Fayshal Wan Ahmad Kamal.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengunjungi venue Sukan Malaysia Johor (Sukma 2020) di Arena Emas di sini hari ini.

Iklan

Pada 17 Julai lalu Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengumumkan saingan Liga-M yang tertangguh sejak Mac lalu akibat Covid-19 akan disambung semula pada 26 Ogos ini.

Keputusan itu sekali gus menyaksikan Liga M bermula lebih awal seminggu berbanding perancangan asal MFL yang menetapkannya disambung pada 1 September untuk saingan Liga Super dan 2 September bagi Liga Premier.

Iklan

Wan Ahmad berkata, jika MFL diteruskan juga pada 26 Ogos ini, prosedur operasi standard (SOP) yang ketat akan dilaksanakan sepanjang perlawanan berlangsung.

Jelasnya, KBS juga akan bekerjasama dengan pihak berkuasa yang berkenaan termasuk polis untuk memastikan SOP dipatuhi sepenuhnya nanti.

Mengenai lawatannya, Wan Ahmad berpuas hati dengan persiapan venue untuk Sukma 2020 yang dilakukan mengikut jadual.

"Persiapan untuk Sukma, termasuk yang berlangsung seperti yang dijadualkan. Penting untuk kita memastikan tidak ada jalan pintas yang diambil dalam persiapan venue Sukma 2020 dan selamat digunakan atlet kita," katanya.