Sinar Harian sedia anjur debat Mujahid - Azeez

Iklan
Mujahid dan Abdul Azeez

SHAH ALAM - Akhbar Sinar Harian bersedia untuk menjadi penganjur debat berhubung isu Lembaga Tabung Haji (TH) yang mencetuskan polemik dalam kalangan ahli-ahli Parlimen pada Sidang Dewan Rakyat sejak beberapa hari lalu.

Ketua Pengarang Kumpulan Sinar Harian, Datuk Baharom Mahusin berkata, sebagai sebuah akhbar yang bebas daripada mana-mana pengaruh parti politik, Sinar Harian bersedia untuk menemukan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof dengan bekas Pengerusi TH, Datuk Seri Abdul Azeez Rahim.

Iklan
Iklan

"Sinar Harian berharap agar kedua-dua panel dapat menggunakan platform ini bagi mengupas dan menjawab kemelut yang berpanjangan terhadap badan pengurusan kewangan Islam itu.

"Kita percaya program ini akan berlangsung secara adil dan penuh adab tanpa mengaibkan mana-mana pihak, sekaligus menjawab polemik yang tidak berkesudahan sejak tahun lalu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Iklan

Sementara itu, Baharom berkata, pemilihan isu TH sebagai Debat Sinar dapat dilaksanakan bertujuan untuk memberikan satu kefahaman dan perspektif yang lebih jelas kepada 9.44 juta pendeposit yang membuat simpanan di agensi itu.

"Isu ini merentasi politik kepartian dan tidak wajar dijadikan bahan politik bagi pihak berkepentingan serta perlu dimuktamadkan segera oleh pihak yang terlibat dengan isu terbabit,” katanya.

Iklan

Untuk rekod, Mujahid dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama) selama 22 bulan dan Abdul Azeez memegang jawatan itu untuk tempoh lima tahun bermula 2013 sebelum melepaskan jawatan itu pada 14 Mei 2018 ekoran kekalahan Barisan Nasional pada Pilihan Raya Umum Ke-14.

Ketika era pentadbiran Pakatan Harapan (PH), kerajaan telah memperkenalkan Pelan Pemulihan dan Penstrukturan Semula TH selepas meneliti laporan audit dan dapatan siasatan bebas mengenai kedudukan kewangan institusi kewangan tersebut.

Kemudian kerajaan PH mengalihkan aset tidak untung kepada syarikat tujuan khas (SPV) sebagai usaha untuk memulihkan semula institusi kewangan itu selepas didapati mengalami defisit sebanyak RM4.1 bilion pada tahun 2018.

Berdasarkan hasil siasatan dan audit oleh syarikat juruaudit bebas, PricewaterhouseCoopers (PwC) perkara itu berlaku kerana pemberian hibah kepada pendeposit TH sejak 2014 bercanggah dengan Akta Lembaga Tabung Haji 1995.

Selain Debat Sinar, Sinar Harian juga menganjurkan Wacana, Bicara Minda dan Sinar Live yang disiarkan secara langsung menerusi portal www.sinarharian.com.my; Facebook Sinar Harian; YouTube Sinar Harian dan Twitter @SinarOnline.