MANCHESTER United dinasihatkan supaya tidak melakukan kesilapan melepaskan penjaga golnya, David de Gea.
Legenda United, Rio Ferdinand yakin de Gea akan berjaya bangkit daripada persembahan hambar dan beberapa kesilapan yang dilakukan dalam perlawanan sebelum ini.
"De Gea memang melakukan kesilapan yang tidak sepatutnya dan sedang berada dalam prestasi paling buruk serta kepercayaan diri yang sangat rendah.
"Tetapi, apakah dia punya karakter untuk bangkit? Sudahkah dia membuktikan karakternya sejak beberapa tahun yang lalu" Ya. Ketika dia datang ke Manchester United, dia baru 19 tahun dan ada pihak yang mempersoalkan adakah dia cukup bagus, dia terlalu kurus dan tidak bersedia untuk menjadi penjaga gol nombor satu United.
"Dia menepis semua perkara dan kritikan yang pernah dilemparkan terhadapnya dan membuktikan kualiti yang dimilikinya," katanya.
Penjaga gol kelahiran Sepanyol itu dikritik susulan prestasi hambar dalam aksi Piala FA menentang Chelsea yang menyaksikan dia melepaskan gol mudah daripada percubaan Olivier Giroud dan Mason Mount.
Ia sekali gus menimbulkan kembali kemungkinan dia akan dijual pada jendela perpindahan akan datang.
Dalam pada itu, Ferdinand menegaskan United akan sukar mencari penjaga gol bertaraf dunia sekiranya melepaskan de Gea.
"Memang betul dia sudah mengharungi musim yang sukar. Tetapi,adakah itu bererti anda perlu melepaskannya? Dean Henderson (penjaga gol United yang dipinjamkan ke Sehffield United) adalah penjaga gol muda. Ia akan menjadi perjudian besar jika diturunkan dalam kesebelasan utama.
"Salah seorang yang saya rasa layak adalah penjaga gol Atletico Madrid iaitu Jan Oblak. Untuk membawa masuk Oblak memerlukan belanja yang besar," katanya.