SHAH ALAM - Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh perlu membuktikan kenyataannya mengenai hak memainkan rakaman audio atau video di dalam Sidang Dewan Rakyat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Takiyuddin Hassan berkata, semakan terhadap rekod Parlimen menunjukkan tiada perkara sedemikian yang pernah berlaku di Dewan Rakyat pada 2007.
Iklan
Iklan
"Ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong semalam, Ramkarpal membuat kenyataan Dewan Rakyat pernah membenarkan bahan audio atau video dimainkan dalam sidang pada 2007.
"Ia didakwa dibuat oleh bekas Ahli Parlimen Bukit Gelugor Karpal Singh, selepas memainkan video atau audio berkaitan pertuduhan rasuah bekas Ketua Hakim Negara di dalam Dewan Rakyat ketika itu," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, dakwaan Ramkarpal itu tidak berasas dan suatu perbuatan mengelirukan dewan yang menjadi kesalahan mengikut Peraturan 36(12) Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.
"Oleh itu, demi keadilan dan faedah keraguan, YB Bukit Gelugor adalah diberi peluang untuk membuktikan dakwaan berkenaan, sehingga berakhirnya sidang Parlimen hari ini," katanya.
Beliau berkata, sekiranya Ramkarpal gagal membuktikannya, Ahli Parlimen berkenaan boleh dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan di bawah Peraturan 36(12) Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.