Empat pasang kembar Tahun Satu teruja kembali ke sekolah

Iklan
Salim (tengah) bersama empat pasanvan kembar Tahun Satu yang memulakan sesi persekolahan hari ini.

KUALA TERENGGANU - Empat pasangan kembar murid Tahun Satu Sekolah Kebangsaan (SK) Pusat Chabang Tiga di sini teruja dapat kembali ke sekolah hari ini sejak penangguhan sekolah sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lalu.

Kesemua pasangan kembar berusia 7 tahun iaitu Amsyar Ziqri dan Amzar Ziqri Zainuddin; Nur Alya Sofia dan Nur Alya Damia Rosli; Muhammad Rayyan Haziq dan Muhammad Rayyan Hafiq Mohd Nazari serta Wan Ameera Balqis dan Wan Amanda Balqis Mohd Shukri gembira dapat berjumpa rakan sekelas setelah lebih empat bulan tidak bertemu.

Iklan
Iklan

Amsyar Ziqri berkata, dia menghitung hari untuk ke sekolah semula memandangkan agak lama sesi persekolahan ditangguhkan.

"Saya gembira dapat ke sekolah semula dan rasa tak sabar untuk berjumpa guru serta rakan-rakan di sekolah,” katanya ketika ditemui sempena hari pertama persekolahan bagi murid Tahun Satu hingga Tahun Empat di SK Pusat, Chabang Tiga hari ini.

Iklan
Amsyar Ziqri (kiri) dan Amzar Ziqri teruja kembali ke sekolah hari ini.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT), Salim Ab Ghani turut hadir meninjau perlaksanaan prosedur operasi standard (SOP) pada hari pertama sesi persekolahan bagi murid Tahap Satu di sekolah itu.

Menurutnya, setakat ini tahap amalan dan pematuhan SOP di kebanyakan sekolah di negeri ini berada pada tahap memuaskan.

Iklan

"Bagaimanapun, guru perlu memainkan peranan menggunakan kreativiti masing-masing untuk memberi kefahaman kepada pelajar mengenai kepentingan mematuhi SOP dan menjaga keselamatan bagi mengelak penularan koronavirus (Covid-19).

"Kita mohon pada guru besar dan pengetua untuk mengambil masa di awal kelas untuk mengingatkan murid dan pelajar berkaitan Covid-19. Bekalkan maklumat yang betul supaya mereka patuh dan sentiasa ingat pesanan kita,” katanya.

Salim (tengah) meninjau suasana dalam kelas murid Gahun Satu di SK Pusat Chabang Tiga.

Beliau berkata, seramai 84,114 murid Tahap Satu memulakan sesi persekolahan di 352 sekolah di Terengganu termasuk empat buah sekolah swasta dengan bilangan 1,070 pelajar.

"Kita tunggu lepas Hari Raya Aidiladha nanti di mana waktu itu 100 peratus sekolah di Terengganu dibuka setelah kemasukan pelajar ke asrama.

"Kita jangka pada 3 Ogos nanti semua sekolah di Terengganu beroperasi seratus peratus mengikut normal baharu,” katanya.

Sebelum ini, pada 15 Julai lalu, seramai 117,050 pelajar sekolah rendah dan menengah di seluruh Terengganu telah memulakan sesi persekolahan melibatkan 75,168 pelajar sekolah menengah dan 41,882 murid Tahun Lima dan Enam sekolah rendah di 504 buah sekolah.