JOHOR BAHRU - Sebanyak 1,187 sekolah rendah dan menengah di negeri ini beroperasi sepenuhnya selepas murid Tahun Satu hingga Tahun Empat kembali memulakan sesi persekolahan pada hari ini.
Timbalan Pengarah Pendidikan Negeri Johor (Perancangan dan Pengurusan), Shaharuddin Saari berkata, setakat ini semua sekolah dapat menyediakan kelas yang secukupnya bagi kelancaran proses pengajaran dan pembelajaran.
"Di negeri ini terdapat 575,144 pelajar dan 48,944 guru di sekolah rendah dan menengah.
"Semua sekolah mengamalkan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) bagi menangani penyebaran wabak koronavirus (Covid-19)," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurutnya, pelajar asrama penuh, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA), Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) dan pelajar Tingkatan Satu hingga Tingkatan Tiga akan memulakan sesi persekolahan pada 3 Ogos ini.
Katanya, sebagaimana negeri lain, Kelas Peralihan, Tingkatan Satu hingga Tingkatan Empat dan Tingkatan Enam Bawah sudah bermula 15 Julai lalu.
"Begitu juga pelajar Tingkatan Lima dan Tingkatan Enam Atas yang telah memulakan sesi persekolahan paling awal pada 24 Jun lalu.
"Seramai 21,315 murid pra sekolah juga telah kembali bersekolah pada 1 Julai lalu," katanya.
Sementara itu, tinjauan Sinar Harian di Sekolah Kebangsaan (SK) Perling 3 di sini mendapati sesi persekolahan berjalan lancar dengan setiap murid memakai pelitup muka.
Murid-murid berkenaan menjalani pemeriksaan suhu di pintu masuk sekolah serta mematuhi SOP ditetapkan yang dipantau dan dibimbing guru-guru mereka.