Patuhi SOP ketika ibadah korban

Iklan
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun

SEREMBAN - Semua masjid dan surau yang mendapat kebenaran melakukan solat sunat Aidiladha serta melaksanakan ibadah korban dinasihatkan supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan berikutan negara masih dalam Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, pihak masjid mahupun penganjur program perlu mengutamakan SOP yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi memastikan tiada penularan wabak koronavirus (Covid-19) di negeri ini.

Iklan
Iklan

"Saya berharap pihak berkenaan dapat menguruskan program ibadah korban dengan mematuhi SOP yang ditetapkan, kehadiran mestilah tidak melebihi 50 orang dan tiada sebarang pemasangan khemah dibenarkan dalam masjid atau surau.

"Kita bimbang, jika ada yang pasang khemah dan hari pula hujan, sudah tentu semua akan berkumpul dalam khemah menyebabkan tiada penjarakan sosial dalam khemah itu nanti.

Iklan

"Oleh sebab itu, semua masjid dan surau tidak boleh memasang khemah semasa ibadah korban dijalankan nanti patuhilah SOP ibadah korban ini sebaiknya," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Wisma Negeri dekat sini hari ini.

Iklan

Aminuddin berkata, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir telah perkenan membenarkan solat sunat Aidiladha diadakan di semua masjid dan surau di seluruh negeri ini dengan mematuhi SOP yang ditetapkan MKN.

Katanya, jumlah jemaah yang dibenarkan berdasarkan had kapasiti keluasan ruang dewan solat dengan mengambil kira SOP yang menetapkan jarak satu meter antara jemaah.