Quartararo, Morbidelli ghairah buru lebih banyak kejayaan

Iklan
Fabio Quartararo dan Franco Morbidelli

PELUMBA Petronas Yamaha Sepang Racing Team (SRT), Fabio Quartararo dan Franco Morbidelli berharap dapat mengulangi aksi cemerlang mereka di Grand Prix (GP) Sepanyol hujung minggu lalu apabila mereka akan memulakan saingan di grid perlumbaan GP Andalusia di Litar Jerez yang sama.

Iklan
Iklan

Semasa Quartarato memenangi perlumbaan pertama MotoGP minggu lepas, Morbidelli pula meraih kedudukan kelima.

"GP Sepanyol adalah perlumbaan yang sungguh menarik. Hujung minggu itu terasa sangat baik... daripada mendapat kedudukan terbaik hingga mencatatkan kemenangan. Sejujurnya, ia adalah yang terbaik. Saya tidak sabar menunggu hari Jumaat untuk kembali lagi, mencuba untuk meningkatkan kepantasan kami dan melakukan yang sama seperti minggu lepas.

Iklan

"Saya rasa kami masih boleh tingkatkan lagi kerana momentum orang-orang di sekeliling kami semuanya dalam keadaan baik jadi kami perlu melihat apa yang harus ditekankan. Kami tahu sektor tiga adalah satu daripada cabaran bagi saya.

"Kami perlu raikan kemenangan ini tetapi juga harus fokus untuk perlumbaan hujung minggu ini kerana kalendar baharu ini sangat sengit, dengan beberapa rehat di antaranya. Jadi adalah penting untuk kekal fokus,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan pasukan itu hari ini.

Iklan

Rakan sepasukan beliau, Morbidelli meraih kedudukan kelima bersama jentera Yamaha YZR-M1 menyaksikannya menyamai keputusan MotoGP terbaiknya.

Pelumba Itali itu menunjukkan prestasi yang baik di semua sesi dan akan terus meningkatkan kemajuannya untuk berada di kedudukan utama dan membantu mengukuhkan kedudukan pasukan di kedudukan teratas.

"Jentera saya sangat bagus untuk ditunggang dan pasukan saya telah melakukan tugas yang baik, jadi saya fikir kami yakin untuk terus mendahului. Ada beberapa perkara untuk diperbaiki, sebab ada beberapa kawasan kami kehilangan masa.

"Berlumba di litar yang sama semula bukanlah kelebihan kerana setiap orang dalam situasi yang sama, tetapi ia juga bagus dapat memahami beberapa perkara lain dan meningkatkan persediaan.

"Sentiasa ada ruang untuk memperbaiki dan keadaan litar mungkin berubah minggu ini. Apa pun yang berlaku, saya yakin untuk menghadapi perlumbaan seterusnya dan cukup teruja,” kata Morbidelli. - Bernama