KOTA BHARU - Beberapa premis perniagaan di Kelantan mengambil langkah mewajibkan pemakaian topeng muka sebelum membenarkan pelanggan masuk membeli-belah di premis mereka.
Tinjauan Sinar Harian mendapati langkah itu dilakukan bermula semalam apabila Malaysia kembali mencatatkan dua angka kes jangkitan koronavirus (Covid-19) sejak tiga minggu lalu.
Seorang pelanggan, Dalila Bakri, 34, berkata, dia tidak dapat melepasi pemeriksaan pengawal keselamatan untuk masuk ke sebuah pasar raya di daerah itu apabila tidak memakai topeng muka.
Katanya, pengawal keselamatan tersebut memberitahu pihak pengurusan premis mengarahkan kesemua pelanggan berbuat demikian kerana pasar raya tersebut sentiasa dikunjungi orang ramai.
"Pengawal keselamatan tidak membenarkan saya masuk tetapi mereka jelaskan pada saya dengan baik dan menggalakkan saya untuk memakai topeng muka.
"Sebelum ini saya datang tidak ada pun peraturan macam ni dan saya difahamkan tindakan ini dilakukan bermula semalam,” katanya ketika ditemui hari ini.
Katanya, dia menerima langkah itu dengan baik dan membeli sekeping topeng muka berharga RM1.50 serta memakainya sebelum dibenarkan masuk.
Seorang lagi pelanggan, Ahmad Faisal Kamaruddin, 27, berkata, dia tidak mengetahui tentang peraturan baharu di pasar raya itu namun tidak keberatan untuk mematuhinya.
"Hari ini saya bawa mentua dan dua anak berusia dua tahun dan 10 bulan, jadi memang elok semua pakai topeng muka lebih-lebih lagi ada yang membawa anak-anak seperti saya.
"Pengawal keselamatan pasar raya juga memeriksa suhu dan kami perlu memakai cecair pembasmi kuman selain mengisi data pelanggan menerusi kod QR,” katanya.
Sementara itu, seorang pensyarah, Kamal Ridzwan, 39, memuji tindakan itu sebagai usaha sama-sama mengekang penularan kembali wabak Covid-19 di negara ini.
"Ketika berada di tempat awam dan sesak, seeloknya kena pakai pelitup muka.
"Saya sendiri sentiasa bersedia membawa topeng muka dan memakai ke mana-mana sahaja kerana virus ini belum ada vaksinnya. Kita perlu jaga sama kita,” katanya.