JAKARTA - Tempe sejenis produk kulinari tradisional Indonesia yang diperbuat daripada kacang soya berpotensi menjadi eksport terbesar negara itu ke Amerika Syarikat (AS) ketika krisis kesihatan berikutan pasaran alternatif daging terus berkembang.
Konsul Jeneral Indonesia ke New York, Arifi Salman berkata, memandangkan rantai bekalan daging AS terganggu oleh pandemik koronavirus (Covid-19) ia berpotensi meningkatkan penjualan produk tempe di sana.
Menurut data yang dikumpulkan oleh konsulat, penjualan produk daging meningkat sebanyak 53 peratus bulan ke bulan dari April hingga Mei.
"Terdapat pertumbuhan yang signifikan dalam penjualan daging alternatif namun tempe memiliki potensi jangka masa panjang kerana penduduk AS menjadi lebih peduli tentang kesihatan mereka," katanya.
Pandemik telah memberi tekanan kepada rantaian perdagangan dan bekalan global dengan perniagaan terpaksa ditutup bagi mematuhi sekatan sosial serta sebagai tindak balas terhadap penularan wabak di kemudahan pembuatan.
Organisasi Perdagangan Dunia meramalkan perdagangan akan merosot 18.5 peratus tahun ke tahun pada suku kedua.
Berdasarkan laporan Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) di AS, Covid-19 telah menjejaskan pekerja di kemudahan memproses daging dan ternakan dengan lebih 17,000 kes serta 91 kematian dicatatkan di kilang pemprosesan di 23 negeri antara April dan Mei tahun ini.
Data daripada kumpulan penyokong produk makanan berasaskan tumbuhan, Good Food Institute pula menunjukkan penjualan daging berasaskan tumbuhan di AS naik 38 peratus antara tahun 2017 dan 2019 dengan nilai pasaran AS$939 juta (RM3.9 bilion) pada 2019.
"Satu-satunya cabaran yang harus kita ambil perhatian adalah proses pembuatan tempe mentah untuk menjadi produk yang dapat dimakan oleh masyarakat AS.
"Proses penghasilan dengan kapasiti pengeluaran yang tinggi untuk eksport harus mematuhi standard kesihatan negara itu," jelas Arifi.
Bagi anggota diaspora Indonesia dan pemilik ladang kacang soya, Mayasari Effendi, beliau sedang membina kilang pengeluaran tempe di Indiana susulan publisiti luar biasa mengenai daging alternatif di AS.
"Kami telah menyediakan kod pembungkusan dan akan melakukan audit terhadap proses pengeluaran serta pelabelan," katanya.
Tambahnya, beliau telah menerima geran AS$500,000 (RM2.1 juta) dari Jabatan Pertanian AS (USDA) untuk membangunkan kilang tempe dan mengembangkan perniagaan makanan tersebut yang diusahakan sejak sembilan tahun lalu.
Kilang itu dijangka menghasilkan tempe yang akan diedarkan ke 2,700 kedai di pantai timur dan barat AS.
"Tempe segar tidak sesuai dengan citarasa pengguna Amerika. Bagaimanapun mereka lebih terbuka untuk produk seperti kerepek tempe yang mempunyai rasa barbeku, keju atau pedas," katanya.
Difahamkan, AS adalah salah satu rakan dagang utama Indonesia dengan perdagangan dua hala bernilai AS$27.1 bilion (RM115 bilion) tahun lalu. - Agensi