Arab Saudi tidak dedah cara pilih jemaah haji

Iklan
Gambar fail menunjukkan Kaabah lengang ketika pandemik Covid-19 di Mekah, Arab Saudi. - Foto AFP

SATU pasangan Jordan di Arab Saudi berasa gembira apabila terpilih untuk mengerjakan ibadat haji pada minggu depan.

Namun, permohonan yang ditolak mengerjakan ibadat itu pula telah membangkitkan satu kemarahan.

Iklan
Iklan

Buat pertama kali dalam sejarah moden, berjuta-juta jemaah haji di luar Arab Saudi dilarang daripada mengerjakan ibadat tersebut yang sebelum ini merupakan salah satu perhimpunan terbesar di dunia disebabkan peningkatan pandemik koronavirus (Covid-19).

Malah, sejumlah besar umat Islam bergegas mengemukakan permohonan sejurus ia dibuka di Makkah.

Iklan

Beberapa pegawai Arab Saudi berkata, penduduk dari 160 buah negara telah bersaing dalam permohonan mengerjakan haji dengan ramai menyatakan ia sebagai satu pemilihan yang sukar.

"Kami mempunyai peluang satu peratus untuk dipilih (menjadi jemaah haji) kerana terlalu banyak permohonan," kata seorang jurutera berusia 29 tahun yang namanya tidak didedahkan dan bekerja di Riyadh bersama isterinya berumur 26 tahun iaitu pekerja dalam bidang kesihatan.

Iklan
Sejumlah jemaah haji melontar salah satu jamrah di Mina, Arab Saudi pada 11 Ogos 2019. - Foto AFP

"Kami berasa terkejut dan gembira," kata lelaki tersebut.

Namun, jurutera tersebut terpaksa memadamkan hantaran di media sosial tentang kejayaan pemilihannya mengerjakan haji kerana bimbang ia akan mencetuskan perasaan iri hati dan cemburu terhadapnya oleh pemohon yang tidak berjaya.

Turut dipilih ialah Naseer iaitu seorang ekspatriat Nigeria yang berasa sangat gembira dan menganggapnya sebagai tiket emas untuk menunaikan haji.

"Perasaan ini tidak dapat digambarkan," katanya kepada AFP.

Pada kebiasaannya, jemaah haji perlu menunggu selama bertahun-tahun lamanya untuk dipilih mengerjakan ibadat tersebut yang telah menarik kedatangan kira-kira 2.5 juta umat Islam pada tahun lalu.

Pihak berkuasa Arab Saudi pada awalnya melaporkan kira-kira 1,000 orang Muslim yang berada tinggal di negara tersebut dibenarkan untuk mengerjakan haji.

Namun, laporan media tempatan menyatakan sekurang-kurangnya 10,000 umat Islam dibenarkan mengerjakan haji pada tahun ini.

Kementerian Haji Arab Saudi pula dibanjiri dengan sejumlah pertanyaan tentang permohonan mengerjakan ibadat tersebut di laman sosial Twitter.

"Kenapa menolak permohonan kami tanpa memberikan sebab?" tanya seorang wanita kepada kementerian tersebut dengan menghantar tangkap layar yang menunjukkan permohonannya ditolak.

Dua orang balu iaitu seorang warga Nigeria dan Mesir yang bekerja di negara beraja tersebut membuat spekulasi sama ada mereka dinafikan peluang mengerjakan ibadat haji kerana kedua-duanya tidak mendaftarkan seorang mahram lelaki untuk menemani mereka.

Beberapa orang lagi tertanya-tanya jika terdapat slot untuk para diplomat, ahli perniagaan dan golongan elit diraja.

Pihak kementerian tidak memberikan reaksi kepada permintaan AFP untuk memberikan komen mengenai jemaah haji Arab Saudi dipilih daripada sejumlah pengamal perubatan dan anggota tentera yang pulih daripada Covid-19.

Seorang lelaki yang selamat daripada pandemik itu membuat kenyataan di Twitter:"Saya seorang pengamal perubatan dan saya pernah dijangkiti koronavirus. Saya tidak memahami kenapa saya tidak dipilih."

Kerajaan yang menjemput penduduk asing beragama Islam menerusi online berkata, mereka mewakili 70 peratus daripada jemaah haji tetapi tidak menjelaskan berapa banyak permohonan diterima dan bagaimanakah mereka dipilih.

"Pihak berkuasa Arab Saudi menjadikan proses pemilihan menjadi terlalu sukar untuk difahami kerana ia merupakan isu yang sensitif," kata seorang felo pelawat Institut Diraja Perkhidmatan Bersatu, Umar Karim di London kepada AFP.

"Menyembunyikannya (proses pemilihan) daripada penelitian rapi orang awam bermakna kurang menimbulkan kebisingan tentang siapa yang dipilih atau tidak," ujarnya.

Hanya tinggal beberapa minggu lagu sebelum ibadat haji bermula tetapi masih tidak jelas sama ada media asing dijemput untuk membuat liputan.

Jemaah haji tahun ini akan dibekalkan dengan air zamzam yang dibotolkan. - Foto AFP

Bagi Arab Saudi pula, membenarkan ibadat haji tahun ini merupakan keputusan sukar yang diselangi dengan isu ekonomi dan politik.

Memilih bilangan kecil daripada sejumlah besar pemohon juga membangkitkan risiko kemarahan awam.

Walaupun berlaku pandemik Covid-19, kebanyakan jemaah haji menganggap adalah selamat mengerjakan ibadat itu pada tahun ini tanpa kesesakan umat Islam untuk pergi ke lokasi-lokasi keagamaan yang membahayakan kesihatan.

Malah, sebelum ini, jemaah haji terdedah pada sejumlah penyakit ketika mengerjakan ibadat tersebut.

"Sejumlah umat Islam mahu menunaikan ibadat haji pada tahun ini kerana ia lebih teratur berikutan jemaah haji yang berkurangan," kata seorang lelaki yang mahu dikenali sebagai Karim.

Pihak berkuasa berkata, jemaah haji akan diperiksa sama ada dijangkiti Covid-19 sebelum mereka tiba di Makkah.

Mereka juga diwajibkan menjalani kuarantin sebelum dan selepas ibadat itu.

Jemaah haji juga dibekalkan dengan air zamzam Makkah yang dibotolkan dan batu-batu disteril untuk melontar jamrah. - AFP