KEPALA BATAS - Seorang juruukur bahan kerugian RM23,697.52 selepas terperdaya dengan sindiket pinjaman wang tidak wujud semalam.
Mangsa berusia 37 tahun itu dikatakan tertarik dengan iklan pinjaman wang dengan sebuah syarikat berlesen di Facebook sebelum berhubung dengan ejen secara dalam talian untuk memohon pinjaman.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, lelaki berkenaan diminta membuat bayaran proses untuk menerima wang pinjaman RM25,000 yang konon dikatakan telah lulus.
Menurutnya, mangsa kemudian memasukkan wang bayaran proses pinjaman secara berperingkat berjumlah RM23,697.52 ke dalam tujuh akaun bank yang diberikan suspek.
"Mangsa hanya sedar ditipu apabila ejen terbabit masih meminta bayaran tambahan.
"Dia yang mula curiga terus membuat semakan dengan pihak polis dan sedar telah ditipu oleh sindiket pinjaman wang peribadi berkenaan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Noorzainy berkata, Lelaki berkenaan kemudiannya membuat laporan polis untuk tindakan lanjut.
Beliau berkata, walaupun kes seperti itu sering dilaporkan berlaku, masih ada mangsa yang terpedaya dengan muslihat sindiket pinjaman wang secara dalam talian.
"Jangan sesekali mudah percaya dengan iklan pinjaman wang berlesen di media sosial dan internet.
"Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya.