PENGENDALI Liverpool, Jurgen Klopp menegaskan kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) bukanlah trofi terakhir yang akan dikecapi The Reds dan akan cuba meraih lebih banyak gelaran juara musim depan.
Menurutnya, Liverpool belum puas dan akan tampil lebih agresif musim depan untuk mengukuhkan status sebagai pasukan gergasi di pentas Eropah.
"Kami tidak akan berhenti dan sedar cabaran besar yang akan menanti. Kejuaraan EPL ini bukan yang terakhir dan sudah tentu saya akan jadikan pasukan lebih baik dan kuat.
"Kami mempunyai ramai pemain yang bakal jadi tonggak penting musim depan. Tiada yang mustahil untuk kami mengulangi kejuaraan ini lagi dan kami sedar perlu melangkah lebih pantas kerana pasukan lain juga sedang mengejar," katanya.
The Reds menjulang trofi EPL dalam stadium kosong selepas kemenangan 5-3 ke atas Chelsea dalam aksi di Anfield awal pagi tadi.
Trofi itu juga menandakan pengakhiran kepada kemarau 30 tahun pasukan itu menjuarai EPL dan melengkapkan perjalanan cemerlang The Reds apabila sebelum ini turut memenangi saingan Liga Juara-Juara, Piala Super UEFA dan Piala Kelab Dunia.
Bagi Klopp, kejayaan tersebut cukup manis buat dirinya, namun dalam masa sama turut terkilan kerana tidak dapat meraikannya bersama peminat setia Liverpool.
"Hari ini keluarga kami dibenarkan berada di sini dan ia menakjubkan. Ia amat bermakna buat saya. Ia akan menjadi lebih bermakna sekiranya peminat turut sama meraikan di stadium, tetapi kami tahu ia amat mustahil kerana Covid-19.
"saya harap peminat faham kerana beberapa bulan lalu saya rasa seperti mustahil untuk bermain bola kembali. Tetapi, ia berlaku hari ini.
"Saya amat gembira dan ia akan sempurna jika stadium penuh tetapi itu tidak boleh diubah. Tetapi mereka perlu tahu kami lakukan ini untuk mereka," katanya.