TAIPEI - Pasangan warga emas mencuri perhatian pengguna laman sosial setelah tampil berfesyen dengan mengenakan pakaian milik pelanggan yang tidak diambil sejak puluhan tahun di kedai dobi mereka.
Pemilik kedai dobi, Wanji, 83, dan isterinya, Sho-Er, 84, mulai dikenali netizen apabila cucunya memuat naik gambar-gambar mereka di Instagram wantshowasyoung.
Menurut South China Morning Post, cucu yang enggan dikenali berkata, idea tercetus apabila melihat datuk dan neneknya bosan dengan rutin harian yang sama setiap hari.
"Bila lihat banyak pakaian tidak diambil oleh pelanggan, ada yang lebih 10 tahun terbiar di kedai ini.
"Jadi saya ubah pakaian lama kepada pakaian baru dan diperagakan. Tak sangka ramai suka dan gemarinya," katanya.
Katanya, pasangan warga emas ini menjadi popular dan pengikut di Instagram terus meningkat.
"Pada mulanya mereka tidak tahu apa itu Instagram dan 'followers'. Jadi saya terangkan kepada mereka dan ternyata datuk, nenek gembira ramai menyukai mereka," katanya.
Sehingga kini, jumlah pengikut Instagram melebihi 94,000 dari seluruh dunia sejak dimuat naik gambar pertama mereka pada 27 Jun lalu.