KUALA LUMPUR - Harga siling pelitup separuh muka akan diturunkan kepada RM1.20 seunit daripada RM1.50 bermula 15 Ogos, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Alexander Nanta Linggi.
Beliau berkata, harga borong bahan itu yang ketika ini RM1.45 seunit juga akan diturunkan kepada RM1.15 bermula pada tarikh sama.
Menurut beliau, penurunan harga siling pelitup muka sebanyak 30 sen yang dicadangkan oleh KPDNHEP adalah selaras dengan pengumuman Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menimbangkan untuk mewajibkan penggunaan alat pelindungan tersebut di tempat awam.
"Pada masa ini harga siling pelitup muka ialah RM1.50 tetapi selepas ini ia dikurangkan sebanyak 30 sen menjadi RM1.20.
"Kerajaan sensitif berkenaan perkembangan jangkitan Covid-19 di negara ini. Kita akan terus mengkaji keperluan penurunan harga pelitup muka dan memastikan ia mencukupi," katanya pada sesi pertanyaan-pertanyaan menteri di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan daripada Datuk Seri Rohani Abdul Karim (GPS- Batang Lupar) berkenaan penurunan harga pelitup muka.
Alexander berkata, kerajaan sentiasa prihatin dengan situasi yang dihadapi rakyat dalam mencegah Covid 19, justeru KPDNHEP akan memantau peniaga-peniaga yang sengaja mengambil kesempatan menaikkan harga pelitup muka dan alat-alat pelindung diri.
"Antara langkah yang diambil kerajaan ialah menetapkan harga maksimum bagi empat jenis pelitup muka. Pelitup muka tiga lapisan yang mendapat permintaan tinggi pada ketika ini ditetapkan harga maksimum pada harga borong RM1.45 seunit dan harga runcit RM1.50 seunit.
"Kedua, kementerian mengambil tindakan tegas melalui pemeriksaan dan pemantauan harga bekalan secara harian bagi pelitup muka di seluruh negara bermula 29 Januari hingga 22 Julai dengan memeriksa 42,901 premis. Seramai 55 peniaga telah diambil tindakan dengan nilai rampasan sebanyak RM536,951 dan kompaun sebanyak RM392,400," katanya.
Jelasnya, kementerian turut mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana peniaga yang dikesan membuat manipulasi harga atau menaikkan harga barangan tanpa alasan munasabah.
"Ia dilaksanakan dengan mengeluarkan notis pengesahan maklumat harga atau caj bagi barangan atau perkhidmatan di bawah Seksyen 21, Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011 untuk pemantauan kenaikan harga.
"Selain itu, kementerian juga mengeluarkan notis bertulis di bawah Seksyen 21 AKHAP 2011 ke atas mana-mana pihak yang didapati menaikkan harga secara mendadak dan ketara bagi mendapatkan maklumat mengenai barangan yang diperiksa dan menyediakan analisis pencatutan untuk mengesan sama ada kenaikan harga tersebut adalah mengikut perundangan yang ditetapkan atau sebaliknya iaitu wujud elemen pencatutan," katanya.