Gara-gara komen jelik di FB terhadap Sultan Selangor

Iklan
Muhammad Hariz Saleh didakwa atas dua pertuduhan membuat dan memulakan penghantaran komunikasi jelik berhubung Sultan Selangor melalui akaun Facebook (FB) miliknya pada 2018. - Foto 123Rf

SHAH ALAM - Seorang penganggur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan membuat dan memulakan penghantaran komunikasi jelik berhubung Sultan Selangor melalui akaun Facebook (FB) miliknya pada 2018.

Muhammad Hariz Saleh, 28, selaku orang kena saman (OKS) membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim, Rofiah Mohamad.

Iklan
Iklan

Mengikut kedua-dua pertuduhan, Muhammad Hariz menerusi akaun FB ‘Hxryz Jxck’ miliknya didakwa secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi yang jelik dengan niat menganiayai orang lain pada 2018.

Kedua-dua pautan itu kemudian dibaca di Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor pada jam 10.59 pagi, 22 Mac 2018.

Iklan

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta yang sama.

Kesalahan di bawah seksyen itu memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya dan juga boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

Iklan

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia Norhani Mohamad Adzhar sementara Muhammad Hariz tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 24 Ogos ini untuk sebutan semula kes. - Bernama