Terengganu tunggu baki royalti

Iklan
Menteri Besar Dr Ahmad Samsuri Mokhtar membentangkan belanjawan kerajaan negeri bagi tahun 2019 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri ke-14 di Wisma Darul Iman hari ini. - Foto Bernama
KUALA TERENGGANU – Terengganu berharap baki bayaran royalti minyak dan gas yang dianggarkan berjumlah antara RM400 hingga RM500 juta dapat diterima sebelum akhir tahun ini.

Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, selepas mengambil alih Terengganu, kerajaan sudah menerima bayaran royalti sebanyak RM300 juta iaitu pada Ogos dan awal September lalu.

"Masih ada tempoh lagi sehingga tahun 2018 berakhir, kita harap ianya dapat diselesaikan sebelum akhir tahun,” katanya kepada media selepas membentangkan belanjawan Terengganu 2018 di Wisma Darul Iman, hari ini.

Menurut Dr Ahmad Samsuri, perolehan sebanyak RM1.745 bilion yang dinyatakan dalam Bajet 2019 sebagai terimaan bukan hasil merupakan hasil bayaran royalti minyak dan gas.

Bagaimanapun katanya, jumlah sebenar baki bayaran royalti minyak dan gas yang sepatutnya diterima oleh Terengganu pada tahun ini belum diketahui.

"Jumlah bayaran bukan kiraan kerajaan negeri sebaliknya Petronas sendiri bergantung kepada jumlah pengeluaran dan harga pasaran semasa dan dihantar kepada Perbendaharaan.

"Cuma berdasarkan kiraan kasar yang dibuat, kita jangka bakinya antara RM400 hingga RM500 juta.

"Kita harap tahun depan akan bermula episod baharu untuk bayaran royalti minyak dan gas untuk negeri Terengganu,” katanya.