JOHOR BAHRU - Kerajaan Johor menyasarkan 183 inisiatif dalam Belanjawan Johor 2020 dan 51 inisiatif lagi tambahan di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Ihsan Johor yang dirancang sebelum ini dilaksanakan sebelum akhir tahun.
Menteri Besar, Datuk Ir Hasni Mohammad berkata, setakat ini sebanyak 57 peratus inisiatif telah dilaksanakan, manakala selebihnya dijangka selesai dalam tempoh lima bulan ini.
"Setiap inisiatif diteliti bagi membolehkannya dapat direalisasikan dalam tempoh ditetapkan termasuk mewujudkan jawatankuasa khas sekiranya perlu.
"Semua 234 inisiatif tersebut dimulakan pada tahun ini yang dilaksanakan di bawah portfolio 10 Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Johor," katanya dalam satu kenyataan semalam.
Menurutnya, pencapaian inisiatif itu dibincangkan dalam Mesyuarat Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang diadakan pada Ahad dan Isnin lalu di Kota tinggi.
"Semua inisiatif yang dibincangkan dalam mesyuarat KPI ini diharap dapat diterjemahkan dengan sebaik mungkin, sekali gus meletakkan kepentingan rakyat sebagai fokus utama," katanya.