KUALA LUMPUR - Pelumba pasukan Petronas Sprinta Racing, John McPhee dan Khairul Idham Pawi mahu mengetepikan kekecewaan sebaliknya menumpukan kepada persiapan bagi menghadapi Grand Prix Andalusia (GP Andalusia) di Litar Jerez, Sepanyol hujung minggu ini.
McPhee, 26, yang terbabit dalam kemalangan pada selekoh terakhir di GP Sepanyol di litar yang sama Ahad lepas berkata, ketika itu beliau amat mahu meraih kemenangan podium.
"Saya mendapat banyak maklum balas positif serta data perlumbaan yang boleh diguna pakai semasa perlumbaan nanti. Perkara utama yang perlu saya perbaiki adalah cara memulakan perlumbaan.
"Ritma tunggangan saya baik, kelajuan juga baik, pengendalian motosikal juga baik. Satu-satunya masalah ialah saya ketinggalan semasa permulaan. Saya mahu mengatasinya hujung minggu ini dan berlumba dengan baik," kata pelumba dari Scotland dalam kenyataan media oleh pasukan itu hari ini.
Sementara itu, pelumba negara, Khairul Idham atau lebih dikenali sebagai Super KIP berharap dapat memanfaatkan kelebihan berlumba di litar yang sama berturut-turut membantu beliau memahami jenteranya dengan lebih baik sebelum perlumbaan hujung minggu ini.
"Untuk perlumbaan ini (GP Andalusia), saya perlu memperbaiki diri dan beberapa perkara dengan motosikal saya. Kami agak bergelut di selekoh pantas dan kehilangan banyak masa di sana, jadi ini adalah sesuatu yang perlu kami berusaha dan perbaiki.
"Hujung minggu lepas kami tidak memperoleh penyelesaian terbaik. Memandangkan kami akan berlumba di litar yang sama hujung minggu ini, jadi kami mempunyai banyak data untuk digunakan. Semoga perlumbaan hujung minggu ini akan berakhir dengan baik dan dapat menunjukkan peningkatan," kata Khairul Idham.
GP Andalusia akan bermula esok dengan sesi latihan bebas dan diikuti sesi kelayakan pada Sabtu dan perlumbaan pada Ahad.- Bernama