MELAKA - Kerajaan Melaka menghentikan serta-merta pemberian dan manfaat Kad Peduli Sihat yang diperkenalkan ketika pemerintahan Kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada Januari lalu.
Exco Wanita, Pembangunan Keluarga dan Hal Ehwal Kebajikan Melaka, Datuk Latipah Omar berkata, keputusan itu dibuat susulan terdapat beberapa kekangan dan karenah birokrasi terhadap penggunaan kad yang memberi manfaat kepada lebih 1,000 keluarga berpendapatan rendah (B40) di negeri itu.
Iklan
Iklan
Setakat ini, katanya, dana khas yang diperuntukkan bagi program itu akan digunakan kepada program bantuan lain untuk membantu rakyat yang memerlukan lebih-lebih lagi ketika wabak koronavirus (Covid-19).
"Dalam keadaan sekarang, kerajaan akan cuba merangka balik satu jalan baharu bagi mengatasi masalah kad kesihatan ini.
"Kita belum memberikan kata putus tapi ia masih dalam kajian," katanya kepada pemberita selepas Persidangan Kedua Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-14 di Kompleks Seri Negeri, Ayer Keroh di sini, hari ini.
Sementara itu, ketika menjawab soalan lisan berhubung pembinaan inisiatif golongan B40, beliau yang juga ADUN Taboh Naning berkata, Program Rumah Peduli Rakyat telah dijenamakan semula sebagai Program Rumah Prihatin.
Sebelum ini, kerajaan negeri ketika di bawah pimpinan Ketua Menteri terdahulu, Adly Zahari melancarkan Kad Peduli Sihat yang memberi manfaat kepada lebih 1,000 keluarga dalam golongan B40.