497 LGBT insaf dipulihkan MAIS

Iklan
Dr Ahmad Shahir Makhtar (MAIS memuat naik status kenyataan media di Facebook hari ini.)

SHAH ALAM - Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) melalui Sektor Pembangunan Sosial, Bahagian Pemulihan al-Riqab telah membantu memulihkan seramai 497 orang terdiri daripada golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) yang ingin kembali ke pangkal jalan pada tahun lalu.

Setiausaha MAIS, Dr Ahmad Shahir Makhtar berkata, pihaknya sentiasa bertindak secara proaktif dalam memulihkan dan memerdekakan golongan LGBT.

Iklan
Iklan

Menurutnya, golongan itu termasuk dalam golongan asnaf al-Riqab seperti yang dinyatakan dalam 'Fatwa Jenis Penerima Asnaf Al-Riqab Negeri Selangor Dan Apa-Apa yang Berkaitan Dengannya' yang diwartakan pada 7 Jun 2012.

"Tafsiran al-Riqab membawa maksud seseorang yang telah disahkan ingin membebaskan dirinya dari belenggu sama ada dalam permasalahan aqidah atau sosial yang dihadapi.

Iklan

"Golongan LGBT yang ingin kembali ke pangkal jalan adalah tergolong dalam asnaf al-Riqab dan layak menerima bimbingan dan bantuan," katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Ahmad Shahir berkata, MAIS menggunakan pendekatan membantu golongan itu melalui proses pemulihan dan bimbingan dalam program yang dijalankan oleh Pertubuhan Islam Bukan Kerajaan (PIBK) dan pihak yang berdaftar di bawah MAIS.

Iklan

"Mereka ini telah secara aktif melaksanakan program membebas, mengurus, melindungi, merawat dan memerdekakan golongan ini supaya dapat menjalani kehidupan sempurna menurut Islam.

"Kos program pemulihan tersebut dibiayai sepenuhnya melalui peruntukan zakat asnaf al-Riqab," katanya.

Selain itu, beliau berkata, MAIS juga membangunkan Modul Istitabah sebagai rujukan secara teori dan praktikal terhadap cara pemulihan permasalahan akidah dan sosial.

Katanya, modul itu telah menunjukkan kesan yang positif kepada asnaf al-Riqab sejak dipraktikkan mulai tahun 2017.

"Modul Istitabah ini merangkumi instrumen pengukuran keparahan aqidah, rawatan spiritual Islam, pemulihan dan khidmat sokongan.

"Proses pemulihan ini dilaksanakan di rumah-rumah pemulihan MAIS iaitu di Pusat Pemurnian Aqidah Baitul Iman, Pusat Perlindungan Wanita Baitul Ehsan dan Pusat Pemulihan Baitul Islah MAIS," katanya.

Selain itu, katanya, pemulihan juga dilaksanakan di rumah-rumah pemulihan al-Riqab lain dengan kerjasama badan bukan kerajaan (NGO) yang berdaftar dengan MAIS.

"Pihak MAIS mengajak semua individu Muslim yang terlibat dengan permasalahan aqidah dan sosial untuk menyertai program pemulihan yang terdapat di rumah-rumah pemulihan yang berdaftar dengan MAIS dengan menghubungi Bahagian Pemulihan al-Riqab MAIS di talian 03-3361 4080.

"Pihak MAIS turut mengalu-alukan sebarang bentuk kerjasama dari mana-mana pihak untuk bersama-sama memulihkan dan memerdekakan masyarakat yang terlibat dengan permasalahan akidah dan sosial," katanya.