SELANGOR terpaksa melupakan Stadium Shah Alam bagi mengharungi baki Liga Malaysia (Liga-M) musim ini selepas masalah kerosakan bumbung venue tersebut belum sempat dibaik pulih sebelum saingan liga bersambung semula pada 26 Ogos depan.
Pengendali Selangor, B Sathianathan berkata, Gergasi Merah kemungkinan akan beraksi di Stadium Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam atau Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) yang mana akan diputuskan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS).
"Kita kena akur bahawa Stadium Shah Alam tidak boleh digunakan dan Selangor perlu bermain di stadium lain. Apa yang saya tahu kemungkinan akan bermain di Stadium UiTM atau Stadium MBPJ. Tetapi saya tidak kisah sebab kedua-dua stadium itu mempunyai padang yang cantik dan fasiliti yang lengkap.
"Bagi saya ia langkah tepat yang dilakukan FAS memandangkan Stadium Shah Alam belum sempat dibaiki. Ada bumbung yang belum dibaiki dan sebagainya yang akan membahayakan pasukan.
"Kita juga bakal bermain tanpa penyokong ataupun jumlah penyokong yang sedikit. Jadi, kalau bermain di Stadium Shah Alam yang berkapasiti 80,000 dengan ketiadaan penyokong, mood itu akan berbeza. Macam kita bermain dalam sesi latihan,” katanya kepada Sinar Harian semalam.
Dalam masa sama, Sathianathan turut mengharapkan isu kerosakan stadium tersebut dapat diselesaikan sebelum saingan Liga-M bermula musim depan.
Menurutnya, masalah kerosakan stadium kemegahan Selangor itu telah lama berlaku dan belum dapat diselesaikan walaupun telah menjalani beberapa proses pembaikan.
"Ini berkaitan penyelenggaraan. Tak silap saya stadium itu dibina pada tahun 1994. Saya pergi Perancis, ada stadium di negara itu sudah berusia 60 tahun tetapi masih nampak cantik sebab dijaga dengan baik."Saya harap isu stadium ini dapat selesai kerana ia kemegahan Selangor. Jika kita menaiki kapal terbang, kita boleh nampak stadium ini tersergam indah. Ia ikon kepada negeri Selangor,” jelasnya.