"Eh mudanya guru besar kat sekolah tu. Macam tak percaya pula. Apa kelayakan yang dia ada? Bimbang pula aku tengok cikgu-cikgu muda terajui sekolah. Nanti daripada sekolah cemerlang terus rankingnya jatuh.”Itu sebahagian komen netizen berkenaan isu cikgu muda yang dilantik sebagai guru besar.
Penulis sendiri pun hairan, kenapa ada segelintir netizen yang seakan-akan anti guru besar muda itu. Salahkah mereka menerajui sesebuah sekolah?
Penulis berkesempatan menemubual Guru Besar Sekolah Kebangsaan Segali, Simunjan, Sarawak, Osman Zaini berkenaan isu itu.
Osman yang baru berusia 32 tahun dan antara guru yang termuda menjadi guru besar di Malaysia sendiri pun tidak menyangka beliau akan menjadi pemimpin di sekolah berkenaan.
"Guru muda harus faham dan ingat bahawa dalam diri kita ini telah ada anugerah yang hebat iaitu nilai kepimpinan kerana kita semua dilahirkan untuk memimpin sama ada pemimpin keluarga, persatuan, sekolah atau organisasi lain,” katanya.
Seorang lagi guru besar muda, Firdauz Abdullah yang kini menerajui SK Pekan Nenas, Pontian, Johor berkata, usia muda tidak menjadikan alasan untuk dirinya membuat kerja sambil lewa. Amanah dan tanggungjawab perlu dilaksanakan sebaik mungkin.
Mungkin mereka yang bukan berada dalam dunia pendidikan akan mengandaikan cikgu muda itu ada ‘kabel’ tertentu sehingga memudahkan dia menjadi pemimpin sekolah.
Sebenarnya, ada beberapa syarat umum yang perlu dilalui oleh seorang guru sebelum layak menjadi guru besar.
Antara syarat umumnya ialah seseorang itu perlu disahkan dalam perkhidmatan (bagi PPP Gred DG29); mencapai tahap prestasi yang ditetapkan iaitu sebanyak 85 peratus berdasarkan Laporan Nilaian Prestasi Tahunan (LNPT)/Penilaian Bersepadu Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PBPPP) tiga tahun terkini; bebas daripada tindakan tatatertib; telah mengisytiharkan harta (tempoh lulus isytihar harta tidak melebihi lima tahun); bebas daripada senarai Peminjam Tegar Institusi Pinjaman Pendidikan; dan diperakukan oleh Ketua Jabatan/Ketua Perkhidmatan.Kelayakan
Calon-calon juga perlu melepasi syarat-syarat khusus yang lain. Kemudian mereka juga perlu melalui beberapa perkara seperti menghadiri temu duga pemilihan peserta National Profesional Qualification for Educational Leaders (NPQEL).
Apabila berjaya dalam temu duga, mereka akan dipanggil untuk ujian kecergasan bagi memastikan semua calon dalam keadaan yang sihat.
Setelah berjaya melepasi ujian kecergasan, barulah dipanggil menjalani kursus NPQEL selama tiga bulan. Selepas itu, di sepanjang kursus pelbagai pentaksiran dan ujian dijalankan kepada semua calon pengetua dan guru besar untuk memastikan mereka betul-betul bersedia mentadbir dan mengurus sekolah.
Selepas semua calon melepasi kriteria yang ditetapkan, barulah calon diberi pentauliahan sebagai seorang pengetua dan guru besar.
Lihat, bukan mudah untuk menjadi seorang guru besar. Tapisan demi tapisan perlu dilalui sebelum yang layak terpilih. Jadi, janganlah merasakan yang cikgu muda tidak layak untuk menjadi pemimpin. Mereka sebenarnya memang sesuai dan tepat untuk berada di tempat itu.
Kepada guru muda yang mempunyai impian dan keinginan menjadi seorang pentadbir, pengurus, pemudahcara dan pendorong kepada kejayaan sekolah, anda haruslah mempunyai ciri-ciri ini.
Yang pertama, anda perlu pasang impian dengan ikhlas. Jalankan segala amanah dan tugasan tanpa rungutan dan jalankan dengan terbaik.Sentiasa bersedia ditegur dan belajar daripada kesilapan daripada guru yang lebih senior. Mengamalkan sikap menghormati semua warga sekolah agar dapat mewujudkan atmosfera yang positif di sekolah.
Sedia menimba ilmu dan belajar pelbagai ilmu baharu untuk meningkatkan nilai profesional dan intelektual diri sendiri.
Akhir sekali, kepada cikgu muda, jangan takut apabila anda dilantik sebagai guru besar. Pandang ia sebagai perkara positif. Anda dipilih kerana anda memang layak. Semoga berjaya.
* Roshlawaty Raieh ialah wartawan GPS Bestari